Bot PL87 berjaya dijumpai oleh pihak Tentera Nasional (TNI) Indonesia di Pulau Kepalajerih di kepulauan Batam, Indonesia.

ISKANDAR PUTERI – Bot milik Jabatan Perikanan Negeri Johor, PL87 yang dilaporkan hilang dalam perjalanan ke Pengkalan Tampoi semalam telah ditemui pada jam 1.45 petang semalam di Pulau Kepalajerih, Batam, Indonesia.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata,  kesemua empat kru tersebut ditemui dalam keadaan selamat.

Jelasnya, difahamkan bot itu mengalami kerosakan enjin sebelum dihanyutkan arus sejauh 13 batu nautika sehingga memasuki perairan Indonesia.

“PL87 telah ditemui Tentera Nasional Indonesia (TNI) pada kedudukan satu batu nautika di perairan Pulau Kepalajerih.

“Bot dinaiki mereka mengalami kerosakan bateri hingga terputus komunikasi,” katanya kepada media Jeti Maritim Sungai Pulai, di sini, hari ini.

Menurut Nurul Hizam, kini kesemua mangsa berada di Indonesia dan urusan membawa mereka pulang yaang dijangka selesai hari ini dilakukan antara Maritim Malaysia dengan TNI.

Sebelum ini media melaporkan, bot Perikanan PL87 yang dinaiki empat orang kru dilaporkan tidak dapat dihubungi selain gagal dikesan setelah berlepas dari Tanjung Pengelih sekitar pukul 12.45 tengah hari.

Mangsa terlibat ialah Fatimah Razak, 36 tahun, Zaharin Baharudin, 33, Abdul Halim Sanim, 52 dan Marzuki Jusuh, 53 tahun. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast