telur Ka Siong
Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Ekoran kelantangannya membangkitkan isu telur import dari India di Dewan Rakyat dan media sosial, Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong menerima surat tuntutan daripada syarikat yang mengimport bahan makanan tersebut baru-baru ini.

Melalui surat bertarikh 23 Februari 2023 yang dikeluarkan oleh firma guaman Tetuan S. Ravichandran dan Anuar, syarikat berkenaan menuntut Presiden MCA itu untuk ‘memperbetulkan’ kenyataan yang didakwa kurang tepat berhubung isu tersebut.

Syarikat tersebut mendakwa Ka Siong tidak menyatakan situasi sebenar berhubung keperluan mendesak untuk mengimport telur bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan serta masa yang diambil untuk mengimport telur dari India.

Syarikat berkenaan turut mempersoalkan dakwaan Ka Siong bahawa saiz telur yang diimport dari India adalah lebih kecil.

Sehubungan itu, syarikat tersebut mendakwa, kenyataan yang dibuat oleh Ka Siong berkaitan isu telur import dari India telah menyebabkan kerugian serta menjejaskan reputasinya.

Sementara itu, Ka Siong dalam surat bertarikh 27 Februari 2023 kepada firma guaman berkenaan menafikan segala tuduhan yang dilontarkan syarikat terbabit terhadapnya.

Menurut beliau, isu yang dibangkitkan itu adalah berkaitan kepentingan nasional yang melibatkan penternak ayam di seluruh negara dan bukan sekadar di sekitar kawasan Parlimen Ayer Hitam sahaja.

“Malah, saya tidak tahu langsung tentang kepentingan anak guam anda dan kenyataan saya adalah terhadap keputusan kementerian mengimport telur bagi mengatasi isu kekurangan bekalan telur di Malaysia.

“Sekiranya anak guam anda mempunyai sebarang maklumat berkaitan manfaat mengimport telur dari India, anak guam anda dipersilakan untuk memberi maklumat itu kepada saya dan sebagai seorang Ahli Parlimen yang bertanggungjawab, saya akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Salinan kedua-dua surat tersebut dikongsi oleh Ka Siong dalam laman Facebook miliknya, malam tadi.

Dalam hantaran Facebook yang sama, beliau menyatakan bahawa nama mana-mana syarikat atau individu tidak pernah disebut dalam perbahasannya di Dewan Rakyat.

“Tapi, dia orang yang hantar surat peguam kepada saya pula…..jadi saya menjawablah surat tersebut,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.