Mohideen (tengah) menunjukkan sayur-sayuran dikesan mempunyai racun makhluk perosak yang tinggi dijual dalam negara.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa jumlah racun makhluk perosak kadar tinggi dikesan dalam sayuran dan beras yang dijual di pasaran.

Ia susulan kajian Wonjin Institute for Occupational and Environmental Health (WIOEH) dengan sokongan daripada Financial Industry Public Interest Foundation (FIPIF), Korea terhadap sejumlah 112 sampel sayuran dan 20 sampel beras bagi mengesan kehadiran racun makhluk perosak.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, menerusi kajian itu didapati daripada 98 sampel atau 87.5 peratus sayuran dan 11 sampel atau 55 peratus beras berkenaan dikesan mengandungi racun makhluk perosak.

Jelasnya, kebanyakan sayur-sayuran yang diuji adalah dari kebun di Ara Kuda iaitu kawasan penanaman utama sayuran di Pulau Pinang, malah turut dibekalkan ke negeri sekitarnya iaitu Kedah, Perlis dan Perak.

“Sampel itu dibeli daripada pelbagai kedai seperti pasar raya, pasar raya besar, pasar basah, pasar mini dan kedai runcit di sekitar Pulau Pinang sebelum diuji di Korea bagi mengesan racun makhluk perosak.

“Hasilnya mendapati jumlah racun makhluk perosak pada kadar tinggi dan berlebihan digunakan dalam sayuran yang diuji malah ada juga racun makhluk perosak yang diharamkan negara Kesatuan Eropah (EU) tetapi digunakan di Malaysia.

“Paling mengejutkan ialah terdapat kehadiran sehingga 35 sebatian dalam satu sayuran,” katanya pada sidang media di Pejabat CAP, hari ini.

Mengulas lanjut Mohideen berkata, pada masa ini peraturan berkaitan sisa racun makhluk perosak dalam tanaman di Malaysia adalah mengikut Jadual Enam Belas (Peraturan 41) Peraturan Makanan 1985 dan hanya racun makhluk perosak yang dinyatakan dalam jadual itu dibenarkan ada di dalam tanaman masing-masing.

“Selain menggunakan racun makhluk perosak secara berlebihan, petani juga menggunakan jenis yang diharamkan atau tidak dibenarkan ada di dalamnya.

“Hasil ujian itu juga mendedahkan bahawa ada beberapa tanaman didapati mengandungi racun makhluk perosak yang tidak dibenarkan ada di dalamnya.

“Contohnya, racun makhluk perosak Abamectin yang hanya dibenarkan bagi digunakan dalam buahan seperti tembikai, timun dan tomato, ditemui dalam daun saderi dan daun bawang selain Carbofuran  (diharamkan sejak Mei 2023) yang dibenarkan hanya dalam beras ditemui dalam beberapa sayuran berdaun malah sampel itu juga didapati mengandungi racun serangga seperti Malathion dan Metaflumizone,” katanya.

Sehubungan itu, CAP menggesa pihak berkuasa agar melakukan ujian secara tetap terhadap barangan makanan di pasaran bagi mengesan paras kandungan racun makhluk perosak dan hasilnya diumumkan supaya pengguna boleh mengelak daripada membeli barangan itu.

Kata Mohideen, Jadual Enam Belas (Peraturan 41) Peraturan Makanan 1985 juga perlu dikuatkuasa dengan tegas selain mendidik petani mengenai bahaya penggunaan racun makhluk perosak.

“Pengguna di negara ini tidak menyedari mengenai tahap dan jenis racun perosak yang digunakan dalam hasil pertanian tempatan memandangkan tidak banyak publisiti mengenainya,” jelasnya. – MalaysiaGazette