Sebahagian wakil industri dan akademia bergambar bersama Dato Mohd Sharil Abdullah dan Prof Dato Ts Dr Yuserrie Zainuddin sempena Program Perbincangan Meja Bulat (RTD) pada semalam

 

KUANTAN – Perbincangan hala tuju Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi menerusi Perbincangan Meja Bulat (RTD) yang melibatkan lebih 40 wakil industri akan digunakan untuk memperkasakan program itu.

Selain itu, hasil perbincangan tersebut akan memantapkan strategi penawaran kursus pascasiswazah TVET aras tinggi.

Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) Prof Datuk Ts Dr Yuserrie berkata, program RTD merupakan saluran penting bagi pelbagai agensi awam dan swasta berbincang bagi menghasilkan beberapa resolusi yang boleh dijadikan panduan.

“Hasil resolusi ini dijadikan sebagai panduan dalam pembentukan dasar-dasar pada masa akan datang agar bersesuaian dengan keperluan dan perubahan dalam kehidupan masyarakat sejagat.

“Secara tidak langsung, perbincangan ini juga akan membolehkan penawaran program pascasiswazah berpusat kepada kehendak industri.

“RTD juga melibatkan akademia daripada empat universiti MTUN ,iaitu UMP, UTEM, UTHM dan UniMAP,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Antara isu lain yang turut dibincangkan adalah usaha dan cabaran Rangkaian  Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dalam merealisasikan hubungan Universiti – Industri, peranan industri dalam menyokong usaha pemerkasaan TVET dan kebolehpasaran graduan TVET aras tinggi.

RTD yang dianjurkan Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerusi Institut Pengajian Siswazah (IPS) UMP dan Bahagian Kolaborasi Industri & Masyarakat (BKIM) ini bertujuan membincangkan dalam pelbagai aspek bagi menjayakan agenda negara bagi  meningkatkan tenaga pakar peringkat siswazah di dalam negara seiring dengan Pelan Strategik UMP 2021-2025 (PS25). – MalaysiaGazette