KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Lembaga Peperiksaan sedang mengumpulkan maklumat terperinci mengenai 431 calon peperiksaan Sijil Pelajaran MAlaysia (SPM) 2022 yang terkandas dalam banjir dan tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan semalam.
Maklumat itu untuk penjadualan semula peperiksaan, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hujan lebat berterusan itu menyebabkan 17 pusat peperiksaan di negeri Johor, Pahang dan Sarawak telah terjejas.
Daripada jumlah ini, sebanyak tujuh pusat peperiksaan tidak dapat dibuka disebabkan terputus hubungan dan jalanraya tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan.
Di Johor dan Pahang, seramai 195 calon terkesan dengan banjir namun berjaya digerakkan ke pusat-pusat peperiksaan yang berhampiran dengan bantuan agensi kerajaan untuk menduduki peperiksaan.
”Semua calon peperiksaan SPM tahun 2022 turut dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan segera sekiranya terkandas dalam banjir dan tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran.
”Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan banjir yang disediakan di ibu pejabat LP dan Jabatan Pendidikan Negeri di seluruh negara. Penjadualan semula peperiksaan akan dilaksanakan bagi calon berkenaan setelah mendapat pengesahan Pengarah Pendidikan Negeri,” jelas KPM dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, KPM sentiasa cakna dengan situasi semasa dan siap siaga dengan prosedur operasi standard dan langkah persediaan yang sewajarnya bagi memastikan peperiksaan SPM tahun 2022 dapat diteruskan dengan lancar dan teratur.
Jelas KPM, pengurusan pengendalian peperiksaan SPM tahun 2022 dalam situasi banjir dilaksanakan berpandukan kepada Pekeliling Persediaan Menghadapi Banjir yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan (Operasi Payung) Bil.1/2001,” katanya.
”KPM sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik dan akan terus memantau situasi banjir sepanjang peperiksaan SPM tahun 2022 berlangsung. KPM juga mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera,” ujarnya. – MalaysiaGazette