Onn Hafiz Ghazi mengadakan mesyuarat tergempar bersama agensi terlibat di Bilik Gerakan Bencana Negeri Johor, malam tadi. Gambar: Facebook Onn Hafiz Ghazi

KUALA LUMPUR – Warga Johor yang berada di kawasan berisiko banjir diiingatkan agar sentiasa berwaspada dan peka dengan maklumat atau arahan yang disalurkan melalui pihak berkuasa dan media.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, jentera dan agensi kerajaan negeri serta Persekutuan termasuk Ahli Exco kini sedang berusaha untuk membantu semua mangsa banjir di negeri itu.

“Keselamatan rakyat adalah keutamaan kerajaan negeri dan kami sedang berusaha untuk memastikan semua aset dan anggota dikerahkan untuk membantu operasi membantu mangsa banjir,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sementara itu dalam hantaran berasingan, Onn Hafiz berkata, beliau sudah mengadakan mesyuarat tergempar bersama agensi terlibat di Bilik Gerakan Bencana Negeri Johor, malam tadi susulan keadaan banjir yang kritikal.

Beliau telah meminta agensi yang terlibat untuk menguruskan logistik bagi penghantaran khemah serta makanan retort (sedia untuk dimakan) ke kawasan berkenaan.

“Saya memahami kekangan yang sedang dihadapi oleh kesemua agensi terlibat, namun saya menaruh keyakinan ia boleh diatasi sekiranya diselaraskan dengan baik,” tambahnya.

Onn Hafiz berkata, beliau memahami kepenatan yang dialami anggota petugas, namun berharap agar mereka terus diberi kekuatan dan semangat untuk berkhidmat.

Beliau turut mengakui bencana banjir yang melanda Johor buat kali kedua ini sebagai satu ujian yang cukup besar buat rakyat negeri berkenaan. – MalaysiaGazette