Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidinhadir Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Majlis Parlimen ke 15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta agar segera mewujudkan sebuah agensi tunggal yang bertanggungjawab menyelaraskan semua bantuan kepada rakyat.

Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) berkata, cadangan itu penting bagi memastikan tiada pertindihan dalam pengagihan bantuan terbabit, dan rakyat yang benar-benar layak saja menerima bantuan diperuntukkan kerajaan.

Bekas Menteri Kanan Pendidikan itu menjelaskan, langkah agensi tunggal itu pernah dimulakan ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sebelum ini dengan menjadikan model di Australia sebagai rujukan ke arah mewujudkan pangkalan data.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya meneruskan usaha berkenaan kerana dikhuatiri ramai rakyat yang layak menerima bantuan seperti subsidi bersasar, akan tercicir khususnya golongan M40.

“Penilaian berkenaan dibuat berpandukan maklumat dalam pangkalan data tunggal bagi memastikan tiada pertindihan bantuan dan tidak ada seorang pun yang layak itu tertinggal daripada menerima bantuan.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Radzi yang juga bekas Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi menambah, cadangan penubuhan agensi tunggal itu tidak membabitkan perjawatan baharu, sebaliknya hanya memerlukan penjajaran anggota perkhidmatan awam yang terbabit dalam pelaksanaan pelbagai program bantuan kerajaan.

“Cadangan pelaksanaan subsidi bersasar yang disebut kerajaan, jika dibuat tanpa wujud jaringan keselamatan sosial yang ampuh, akan menyebabkan ramai rakyat yang memerlukan itu tidak termasuk dalam kumpulan sasar, khususnya kumpulan M40,” katanya. – MalaysiaGazette