KUALA LUMPUR – Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Md Nor mengingatkan semua Ahli Parlimen agar patuh dengan Peraturan Mesyuarat sedia ada.
Tegas beliau, masyarakat tidak akan menggelar Sidang Dewan Rakyat seperti ‘zoo’ sekiranya semua peraturan itu dipatuhi,
Beliau berkata demikian untuk menegur Datuk Seri Shahidan Kassim (PN – Arau) yang bangkit mengemukakan usul baharu kepada Yang di-Ppertua Dewan Rakyat.
Bagaimanapun tindakan Shahidan itu tidak mengikut peraturan.
“Yang Berhormat Arau dah nak masuk enam penggal. Buku peraturan itu saya rasa dah hadam dah. Jadi saya pohon Yang Berhormat tahu peraturannya, 18, 43, 17 (Peraturan Mesyuarat).
“Saya cadangkan Yang Berhormat buat secara bertulis kerana Speaker terpaksa melihat semula apa usul itu.
“Bagus Yang Berhormat, kerana yang ini beri Yang Berhormat baru ini ambil maklum. Dalam peraturan ini, dengan izin, saya ambil beberapa minit.
“Yang Berhormat tekankan 35, 36, 37 (Peraturan Mesyuarat), itu kita cakap dalam Dewan ini dan jika berlaku juga, keputusannya adalah atas Pengerusi atas peraturan 44, 99, 99A…senang.
“Kalau kita ikut itu, tiadalah masyarakat di luar itu panggil kita ‘zoo’. Terima kasih,” katanya sebelum Sesi Perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Mengikut peraturan mesyuarat, setiap usul baharu perlu dimohon secara bertulis terlebih dahulu.
Usul tidak boleh dikemukakan secara tiba-tiba. – MalaysiaGazette