KUALA LUMPUR – Tiga sindiket pengedaran dadah sekitar Lembah Klang tumpas dengan tertangkapnya lima lelaki dan seorang wanita tempatan dalam tujuh serbuan Operasi Tapis Khas bermula 27 Febuari sehingga 1 Mac lalu.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim, dalam serbuan itu sebanyak RM2 juta nilai dadah  berjaya dirampas, selain barang sitaan berjumlah RM180,000 menerusi tujuh serbuan berasingan.

Dalam masa yang sama, turut ditangkal lima lelaki dan seorang wanita tempatan yang merupakan anggota ketiga-tiga sindiket berumur di antara 21 hingga 44 tahun.

Antara dadah yang dirampas adalah ganja (20 kg); syabu (7 kg); serbuk MDMA (7.6 kg; cecair MDMA (1.4 liter); ketamine (3.8 kg); pil erimin5 (2.7 kg); pil ecstacy (1kg) dan serbuk ecstasy 10 gram,.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur hari ini, Azmi berkata, dadah yang dirampas itu mampu menampung penggunaan seramai 100,000 pengguna sekitar Lembah Klang.

Tambahnya, ketiga-tiga sindiket beroperasi secara berasingan sejak tiga bulan yang lalu.

“Semua suspek yang berusia 21 hingga 44 tahun itu tidak memiliki kerja tetap dan menjadikan pengedaran dadah sebagai punca pendapatan utama.

“Siasatan masih dijalankan untuk mengesan ahli-ahli sindiket yang terlibat,” tambah beliau.

Semua suspek direman tujuh hari bermula tarikh tangkapan di bawah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu beliau berkata, seramai 250 orang telah ditangkap di bawah pelbagai kesalahan dadah sepanjang Operasi Tapis Khas berlangsung.

Daripada jumlah tersebut, 61 orang merupakan pengedar dadah kecil-kecilan sekitar Kuala Lumpur manakala 11 orang daripadanya dikehendaki polis berkaitan kesalahan narkotik. -cMalaysiaGazette