Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia mengakhiri dagangan hari ini dengan prestasi bercampur-campur seiring dengan fasa konsolidasi ketika sentimen pelabur kekal berhati-hati dalam kekurangan pemangkin belian berikutan kebimbangan mengenai kenaikan kadar faedah oleh pihak Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.94 mata kepada 1,453.55 daripada 1,455.49, semalam.

Indeks itu memulakan dagangan dengan menokok 2.29 mata kepada 1,457.78 dan bergerak dalam jajaran kecil sekitar 1,452.62 dan 1,457.78.

Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 520 berbanding 338 manakala 429 kaunter lain tidak berubah, 937 tidak diniagakan dan 12 lain digantung dagangannya.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata, indeks utama serantau positif susulan tinjauan kenaikan harga menunjukkan pemulihan ketara perkhidmatan China, namun terbukti memberi impak rangsangan kecil ke atas sentimen tempatan yang lebih didominasi oleh kebimbangan mengenai AS menaikkan kadar faedahnya.

“Kami menjangkakan sentimen itu akan berterusan dan peningkatan ketidatentuan luaran akan menjadi risiko utama selain berdepan tekanan jualan daripada dana asing,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, aktiviti sektor perkhidmatan China meningkat dengan mencatat angka 55 pada Februari berbanding 52.9 pada Januari, kata Indeks Pengurus Pembelian Perkhidmatan Caixin/S&P Global.

Pasaran Jepun pula ditutup lebih tinggi selepas data inflasi negara itu lebih mereda pada Februari berbanding bulan sebelumnya.

Di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi seperti CelcomDigi naik 4.0 sen kepada RM4.34; IOI meraih 5.0 sen kepada RM3.87; AMMB dan Hong Leong Bank masing-masing meningkat 8.0 sen kepada RM3.97 dan RM20.58.

Namun, Maybank dan Sime Darby Plantation susut 4.0 sen kepada RM8.71 dan RM4.26 manakala Telekom Malaysia turun 9.0 sen pada RM4.93.

Bagi saham aktif, Boustead mengukuh 20 sen kepada 85.5 sen, Velesto meningkat 1.5 sen kepada 21.5 sen; Bumi Armada meraih 3.5 sen kepada 69.5 sen dan Pharmaniaga naik 2.5 sen kepada 27.5 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas naik 5.45 mata kepada 10,588.43; Indeks FBM Emas Shariah naik 1.56 mata kepada 10,814.04; Indeks FBM 70 meningkat 44.18 mata kepada 13,446.61 dan Indeks FBM ACE melonjak 47.63 mata kepada 5,426.73.

Indeks FBMT 100 bagaimanapun susut 2.60 mata kepada 10,269.76.

Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 17.06 mata kepada 16,163.73; Indeks Perladangan naik 20.86 mata kepada 6,831.00; Indeks Tenaga meningkat 13.77 mata kepada 871.73 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meraih 0.62 mata kepada 177.65.

Selain itu, jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.95 bilion saham bernilai RM1.64 bilion daripada 1.58 bilion saham bernilai RM1.47 bilion, semalam.

Jumlah waran merosot kepada 254.87 juta unit bernilai RM48.60 juta daripada 300.63 juta unit bernilai RM54.89 juta, sebelum ini.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan berkurangan kepada 479.55 juta saham bernilai RM201.85 juta daripada 618.74 juta saham bernilai RM244.65 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 208.15 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (628.67 juta); pembinaan (54.43 juta); teknologi (202.85 juta); SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (55.24 juta); hartanah (118.82 juta); perladangan (37.50 juta); REIT (4.7 juta), dana tertutup (28,400); tenaga (358.54 juta); penjagaan kesihatan (162.64 juta); telekomunikasi dan media (36.62 juta); pengangkutan dan logistik (24.47 juta) serta utiliti (58.72 juta). -BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast