KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) — Indeks utama Bursa Malaysia menyusut sedikit pada sesi awal dagangan pagi ini apabila pelabur mengambil untung dalam saham wajaran tinggi selepas kenaikan semalam.
Pada 9.19 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.38 mata kepada1,455.35 daripada 1,456.73 semalam.
Namun begitu, indeks dibuka 2.29 mata lebih tinggi pada 1,459.02.
Dan pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan masih positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 236 berbalas 134, manakala 269 kaunter tidak berubah, 1,581 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.
Jumlah dagangan yang dicatatkan adalah sebanyak 294.38 juta unit bernilai RM145.16 juta.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, memandangkan Wall Street bergerak ke zon positif begitu cepat selepas salah satu daripada ulasan pegawai Rizab Persekutuan yang lebih berpihak kepada pertumbuhan ekonomi, ia percaya perdagangan rancak boleh melimpah ke bursa tempatan.
”Bagaimanapun, kami percaya peningkatan pasaran mungkin terhad sehingga tamatnya mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan bulan ini,” katanya dalam nota.
Bagi komoditi, minyak mentah Brent diniagakan melebihi US$84, manakala harga minyak sawit mentah berlegar melepasi RM4,290, dengan sektor berkaitan dijangka terus menjadi tumpuan selain perbankan, pengguna, utiliti dan telekomunikasi.
Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Petronas Chemicals dan Tenaga Nasional turun 6.0 sen masing-masing kepada RM7.21 dan RM9.34, manakala Axiata, Maxis dan IHH menguncup 4.0 sen setiap satu kepada RM3.17, RM3.94 dan RM5.85.
CelcomDigi pula menokok 5.0 sen menjadi RM4.35 dan Public Bank menambah 1.0 sen kepada RM4.15.
Antara saham aktif, kaunter Boustead yang baru menyambung semula dagangan meningkat 20 sen kepada 85.5 sen, dan syarikat berkaitan kenderaan elektrik, Hong Seng meraih setengah sen menjadi 14 sen manakala Eden memperoleh 1.5 sen kepada 18 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 3.11 mata kepada 10,586.09, Indeks FBM 70 memperoleh 27.68 mata untuk mencatatkan paras 13,430.11 manakala Indeks FBM ACE menambah 17.37 mata kepada 5,396.47.
Sementara itu, Indeks FBMT 100 susut 2.51 mata kepada 10,269.85 dan Indeks FBM Emas Syariah turun 12.92 mata kepada 10,799.56.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan memperoleh 26.24 mata kepada 16,172.91, Indeks Perladangan meningkat 3.22 mata kepada 6,813.36, Indeks Tenaga menambah 7.12 mata kepada 865.08, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lebih tinggi 0.14 mata kepada 177.17. – BERNAMA















