Bubu naga yang dirampas daripada empat suspek bersama sebuah bot tidak berlesen oleh APMM Selangor di perairan Pelabuhan Klang semalam.

KUALA LUMPUR – Empat lelaki yang telah menangkap ikan menggunakan bubu naga di perairan Sungai Janggut, Pelabuhan Klang dekat sini diberkas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten Maritim V.Siva Kumar berkata,  pihaknya telah menahan sebuah bot fiber tiada nombor pendaftaran yang dinaiki keempat-empat lelaki itu kira-kira jam 1.30 petang dalam rondaan Op Ehsan.

Menurutnya, bot itu diperiksa sebelum empat kru termasuk tekong warga tempatan berusia antara 15 hingga 44 tahun ditahan maritim.

“Semakan lanjut mendapati, bot itu tidak mempunyai lesen menangkap ikan dan disyaki terlibat dalam aktiviti tangkapan ikan secara haram.

“Tidak jauh dari kedudukan bot nelayan itu, anggota operasi berjaya mengesan satu pelampung berwarna merah yang agak mencurigakan di lokasi berhampiran sebelum pemeriksaan susulan berjaya membawa kepada penemuan tujuh set bubu naga diikat pada pancang kayu,” katanya dalam kenyataan tengah hari tadi.

Beliau berkata, kesemua suspek yang ditahan sedang disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan bot fiber yang tidak dilesenkan.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara bagi mencegah sebarang aktiviti penangkapan ikan secara haram.

“Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” tegas Sivakumar lagi.-MalaysiaGazette