KUALA LUMPUR – Syarikat pengendali umrah, EMRAZ Travel & Tours Sdn Bhd (EMRAZ) telah membelanjakan kira-kira RM3,000 seorang jemaah untuk kemudahan naik taraf dan menjaga kebajikan semasa mereka berada di Mekah dan Madinah.
EMRAZ dalam satu kenyataan berkata, kesemua kos itu ditanggung syarikat berikutan ketiadaan tempat penginapan di kedua-dua bandar itu.
“Situasi yang berlaku ketika ini adalah di luar kawalan syarikat. Kami juga berbincang dengan beberapa buah hotel lain di Mekah dan Madinah bagi mendapatkan bilik penginapan yang mencukupi untuk menampung jumlah jemaah yang semakin bertambah.
“Pihak pengurusan EMRAZ sentiasa bertindak mengikut lunas undang-undang seperti termaktub di bawah Akta Kementerian Pelancongan dan Budaya (MOTAC) dan bukannya bertindak sewenang-wenang sehingga mengabaikan kebajikan jemaah umrahnya,” katanya dalam kenyatan, hari ini.
Selain daripada itu, EMRAZ turut menaik taraf hotel penginapan dan penerbangan ke kelas perniagaan tanpa mengenakan sebarang kos tambahan bagi keselesaan jemaah.
Pada masa sama, syarikat tersebut menambah bilangan hari pakej di Tanah Suci serta bermalam di Taif secara percuma.
Katanya, EMRAZ sentiasa berpegang pada janji untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua jemaah.
“Kami mengambil pelbagai alternatif antaranya menyediakan tiket penerbangan secara transit. Malah, ada juga jemaah dinaik taraf pakej umrah mereka kepada umrah ziarah melibatkan penerbangan transit di Dubai dan Riyadh sekali gus dapat melancong secara percuma di sana.
“Pada Januari lalu, seramai 2,845 jemaah umrah telah diterbangkan ke Tanah Suci, manakala pada Februari pula sebanyak 3,610 orang sekali gus menunjukkan wujud trend peningkatan jumlah mereka yang berminat untuk menunaikan umrah ketika ini,” ujarnya.
Namun begitu, EMRAZ memaklumkan, seperti syarikat pengendali umrah lain, mereka juga berdepan cabaran untuk membawa jemaah apabila sukar mendapatkan tiket penerbangan serta tempat penginapan di Mekah dan Madinah.
Ujarnya, ini kerana pemilik-pemilik hotel di sana enggan menunaikan janji meskipun pihak syarikat telah membuat bayaran penuh kerana mendakwa mereka mendapat tawaran lebih baik.
“Lebih-lebih lagi berlaku pertembungan cuti persekolahan di Arab Saudi dan Malaysia menyebabkan ramai mengambil peluang menunaikan ibadah umrah sehingga bilik yang ditempah lebih awal tidak diperoleh.
“Ini merupakan kali pertama keadaan seumpama ini berlaku. Terdapat juga situasi di mana ketika kami mempunyai tiket penerbangan tetapi ketiadaan tempat penginapan dan begitu juga sebaliknya.
“Selain itu, pihak hotel di sana juga gemar menaikkan harga bilik sewenang-wenangnya di saat-saat akhir,” jelasnya.
Oleh kerana EMRAZ memberikan tumpuan kepada penyediaan hotel lima bintang dengan jarak 50 meter dari Masjidil Haram serta Masjid Nabawi, pihaknya mengalami kesukaran mendapatkan bilik pada harga seperti yang ditawarkan dalam pakej.
Sementara itu, EMRAZ mengingatkan kepada mana-mana pihak untuk mendapatkan maklumat yang sahih serta penjelasan daripada syarikat terlebih dahulu sebelum membuat sebarang spekulasi.
“EMRAZ juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat berunsur fitnah dan berniat jahat sehingga menjejaskan reputasi syarikat.” ujarnya.
Untuk maklumat lanjut dan persoalan, sila email ke atau hubungi talian tetap EMRAZ 03-8893 5224 / 03-8893 5444 / 03-8893 5114. – MalaysiaGazette