Idrus Harun

KUALA LUMPUR – Tan Sri Idrus Harun dilantik semula sebagai Peguam Negara untuk tempoh enam bulan berkuat kuasa 6 Mac 2023.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan hari ini berkata, selaras dengan Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan pelantikan semula Idrus, 68.

Ini merupakan pelantikan semula kedua selepas tahun lalu.

Idrus dilantik sebagai Peguam Negara bagi tempoh dua tahun pada 6 Mac 2020 menggantikan Tan Sri Tommy Thomas yang meletak jawatan pada 28 Februari 2020.

Sebelum dilantik sebagai Peguam Negara, Idrus adalah Hakim Mahkamah Persekutuan.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara, penasihat undang-undang di Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Peguam Cara Negara dan juga Hakim Mahkamah Rayuan. – MalaysiaGazette