KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mempercepatkan pelaksanaan Akta Pendanaan Politik bagi mengekang gejala penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dan di negara ini.
Badan Pemerhati Rasuah (MCW) berkata, rakyat faham dan tahu bahawa draf akta tersebut telah siap sejak tahun 2016 namun setakat ini, belum ada inisiatif untuk melaksanakannya.
Katanya, parti politik terutamanya memerlukan perundangan tersebut dengan segera tambahan pula semakin banyak kes melibatkan tuduhan salah guna kuasa dan rasuah dalam kalangan ahli dan parti politik kebelakangan ini.
“MCW yakin bahawa kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan ini akan meningkat jika ia dilaksanakan segera. Inilah perintis penting kepada konsep Malaysia Madani.
“Akta pendanaan parti politik ini penting untuk memastikan parti politik dapat beroperasi secara telus dan jujur dalam pengumpulan dana dan perbelanjaannya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
MCW menegaskan, semua pihak mesti mencegah pengaruh yang tidak wajar akibat pendanaan yang tidak teratur dan tidak terkawal.
Menurut MCW, semua sumber dana yang diterima oleh parti politik mestilah dari sumber yang sah dan tidak merosakkan proses demokrasi.
Jelasnya, integriti dan kepercayaan terhadap sistem politik negara adalah sangat penting.
“Akta pendanaan parti politik sangat penting dalam menjaga integriti dan ketelusan dalam sistem politik negara demi memastikan proses demokrasi berjalan lancar dan adil serta meminimumkan kemungkinan penyalahgunaan kuasa dalam politik,” katanya. – MalaysiaGazette