Arul Kanda Kandasamy tiba di mahkamah pada hari keputusan sama ada diarah membela diri atau lepas pertuduhan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 03 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dibebaskan daripada pertuduhan mengubah laporan akhir audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi mengelakkan tindakan undang-undang oleh Mahkamah Tinggi di sini, pagi ini.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie dalam kes berprofil tinggi ini.

Mohamed Zaini turut memutuskan bahawa Arul Kanda layak mendapat sijil indemniti yang menghalangnya daripada dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

Sejurus selepas penghakiman ringkas itu dibacakan oleh Mohamed Zaini yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, kedengaran laungan dan sorakan dipercayai rata-rata penyokong dan keluarga Najib.

Sebentar lagi, peguam yang mengetuai pasukan bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan membuat sidang media berhubung keputusan mahkamah pagi.

Untuk makluman, Najib yang juga mantan Ahli Parlimen Pekan ketika ini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentang kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi beliau daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntuk hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

 

 

1 Komen

Comments are closed.