Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PDRM Tahun 2022 di Mess Pegawai Kanan Bukit Aman,Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mencadangkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) agar operasi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dilanjutkan kepada 24 jam sehari.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, sejak ditubuhkan NSRC telah mendapat sambutan yang sangat baik dalam kalangan masyarakat di negara ini.

“Setakat ini, waktu operasi NSRC dari jam 8 pagi hingga 8 malam, namun orang ramai yang membuat panggilan pada jam 10 malam merungut kerana tiada respons daripada NSRC disebabkan panggilan diluar waktu operasi.

“Jadi, kita akan berusaha untuk meminta BNM melanjutkan waktu operasi NSRC sehingga 24 jam supaya ia boleh memanfaatkan masyarakat berkaitan penipuan scam,” katanya pada sidang media  selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022, di Mess Pegawai Kanan Bukit Aman hari ini.

NSRC ditubuhkan bagi membantu mangsa penipuan siber agar bertindak segera daripada terus menanggung kerugian akibat pengeluaran wang tanpa sekatan.

NSRC menggabungkan kerjasama PDRM, BNM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan National Anti-Finacial Crime Centre (NFCC) sebagai inisiatif membendung penipuan secara dalam talian.

Meskipun wujudnya pusat ini, polis mendapati masih ada segelintir masyarakat yang ragu-ragu dengan nombor hotline 997 NSRC ini.

Nombor talian 997 diperkenalkan oleh NSRC yang diketuai oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama beberapa agensi lain.

“Tujuan nombor talian itu adalah untuk mengurangkan kesan penipuan yang dibuat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab terhadap mangsa,” tambahnya. – MalaysiaGazette