Najib Razak

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Tinggi (kini Hakim Mahkamah Rayuan), Mohamed Zaini Mazlan yakin Najib tidak melakukan sebarang kesalahan dengan sengaja meminda Laporan Pengauditan Akhir 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk kepentingan dirinya sendiri.

Sebaliknya Mohamed Zaini yakin, Najib mengarahkan pindaan dibuat ke atas laporan itu supaya ianya tidak dijadikan ‘bahan politik’ untuk diputar belit kelak. 

Ketika membacakan penghakiman beliau hari ini secara ringkas, Mohamed Zaini memutuskan Najib hanya sekadar bimbang andai laporan audit akhir itu diputar belit secara politik.

“Untuk makluman, pihak pendakwaan juga tidak berjaya membuktikan bagaimana perkara yang dipinda itu boleh timbulkan isu liabiliti sivil atau jenayah kepada tertuduh kedua (Najib). Pindaan yang dilakukan ketika itu juga sebenarnya wajar seperti yang dikatakan oleh Ketua Audit Negara.

“Perkara itu juga sebenarnya telah dibincangkan secara terbuka pihak berkepentingan iaitu Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

“Saya juga tidak setuju dengan dakwaan kononnya ada suapan yang dikatakan itu, saya setuju bahawa tiada kaitan antara pindaan yang dibuat dan suapan yang didakwa,” katanya.

Mohamed Zaini Mazlan

Mohamed Zaini merujuk kepada keterangan yang diperdengarkan dalam mahkamah oleh Arul Kanda setelah dipanggil oleh pendakwaan.

Ketika itu Arul Kanda mendakwa, Najib telah mengarahkan beliau selaku Ketua Eksekutif 1MDB untuk hadir mesyuarat bagi perbincangan terhadap laporan audit tersebut.

Ketika itu, kata Arul Kanda, Najib agak bimbang kandungan laporan audit boleh diputar belit dari aspek politik.

Dalam pada itu, Mohamed Zaini juga beranggapan di bawah Seksyen 23(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 tidak boleh terpakai kerana pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan suapan.

Malah Tan Sri Ambrin Buang yang merupakan Ketua Audit Negara ketika itu mengesahkan tiada arahan khusus daripada Najib untuk meminda atau mengeluarkan apa-apa daripada laporan audit itu.

“Tiada bukti Ambrin dipaksa menghadiri mesyuarat atau membuat perubahan kepada laporan audit. Tertuduh yang juga Menteri Kewangan ketika itu berhak menerima salinan laporan audit itu.

Menyentuh tentang dua penyata kewangan 1MDB, Mohamed Zaini berkata, Najib dilihat tidak mengetahui perkara ini sehinggalah ia dibawa kepada perhatiannya oleh Ambrin.

Dalam pada itu, Mohamed Zaini juga memutuskan tiada prosiding sivil atau jenayah lanjut boleh dibawa terhadap Arul Kanda berhubung kes laporan audit 1MDB.

Arul Kanda Kandasamy tiba di mahkamah pada hari keputusan sama ada diarah membela diri atau lepas pertuduhan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 03 MAC 2023.

Mohamed Zaini mengeluarkan sijil tanggung rugi yang telah mengecualikan Arul Kanda daripada liabiliti undang-undang selepas berpuas hati bahawa keterangan yang diberikannya adalah benar dan menyeluruh.

Hakim itu juga memuji kejujura’ Arul Kanda kerana beliau selaku saksi pendakwaan amat  konsisten dalam memberikan keterangannya, selain menjawab semua soalan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan peguam Najib dengan sebaik mungkin.

“Saya sedar beliau boleh meminimumkan peranannya dan memperbesar sebarang salah laku oleh tertuduh (Najib) tetapi beliau tidak melakukan sedemikian sebaliknya jawapan-jawapan beliau juga banyak memberikan kelebihan kepada Najib,” tegasnya.

Mohamed Zaini hari ini membebaskan Najib dan Arul Kanda daripada pertuduhan mengubah laporan akhir audit 1MDB bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

Keputusan itu dicapai selepas beliau mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie dalam kes berkenaan. – MalaysiaGazette