Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan jemaah yang lain selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM), Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 03 MAC 2023.

SERI KEMBANGAN – Mesyuarat Kabinet hari ini meluluskan peruntukan segera berjumlah RM50 juta untuk disalurkan kepada penduduk yang terjejas banjir di Johor.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan segera itu bagi membeli barang keperluan dan bantuan lain kepada mangsa banjir.

“Sebanyak RM50 juta segera untuk Johor, (baik pulih) sungai dan bantu mangsa banjir dan apa-apa keperluan segera,” katanya kepada pemberita di pekarangan Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penyaluran peruntukan sebanyak RM10 juta bagi membeli peralatan dan bantuan tambahan untuk membantu mangsa banjir di Johor.

Ahmad Zahid berkata, peruntukan tersebut diberikan untuk menampung keperluan di semua daerah yang terjejas dan jumlah itu akan ditambah sekiranya tidak mencukupi.

Setakat pukul 4 petang semalam, keadaan banjir di Johor semakin buruk apabila jumlah mangsa meningkat menjadi 28,099 orang melibatkan 7,805 keluarga dan kini ditempatkan di 197 Pusat Penempatan Sementara (PPS).

Dalam pada itu, Perdana Menteri memberitahu beberapa jemaah menterinya akan mula turun ke kawasan banjir di Johor bermula hari ini.

“Beberapa Menteri turun hari ini, esok sebahagiannya lagi, dan saya akan turun dalam masa singkat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast