Wan Sanusi Wan Yunus

TUMPAT – Bekas calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Pasir Pekan, dekat sini, Wan Sanusi Wan Yunus antara pesaing rapat dalam merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Tumpat pada pemilihan parti Mac ini.

Beliau yang merupakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Tanpa Mukim Kampung Baru, bersama seorang lagi calon, Ibrahim Othman akan mencabar penyandang Ketua UMNO Bahagian, Datuk Zulkifli Abdullah.

Sepanjang berkhidmat, Wan Sanusi banyak mencurahkan idea bagi memperkukuhkan UMNO bahagian termasuk menganjurkan program untuk menarik sokongan anak muda terutama Undi-18 menyertai parti itu.

Hasilnya, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu bagi kerusi Parlimen Tumpat menunjukkan peningkatan peratusan sokongan.

Sebelum ini, pada pemilihan 2018-2021 beliau yang juga Ketua UMNO Cawangan Kampung Baru, Pasir Pekan bertanding merebut jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian itu.

Sebagai ahli politik yang pernah berkhidmat dengan mantan Ketua UMNO Bahagian, Allahyarham Datuk Noor Zahidi, banyak pengalaman dan strategi penyusunan gerak atur parti ditimbanya.

“Saya berharap para perwakilan memberi peluang kepada saya untuk memimpin dan membawa UMNO Bahagian ini ke arah lebih tersusun dan kuat.

“Hala tuju kita ialah UMNO mesti ke depan dengan barisan kepimpinan yang jitu, agar matlamat perjuangan parti dapat diterjemahkan, sekali gus menjadi parti dominan untuk rakyat,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Wan Sanusi tidak asing bagi ahli UMNO Bahagian Tumpat dan rakyat Kelantan khususnya kerana beliau juga merupakan aktivis masyarakat yang banyak terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan di seluruh negeri.

Sifatnya yang prihatin dengan ahli dan rakyat mewarisi sikap Allahyarham Noor Zahidi yang sepanjang hayatnya mengabdikan diri bersama akar umbi dan masyarakat marhaen.  – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast