Bangunan Kompleks Mahkamah Kajang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 15 JULAI 2022.

KAJANG – Seorang penganggur warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita warga emas di Taman Putra Kajang pada 24 Februari lalu.

Tertuduh Hermansyah, 37, yang tidak diwakili peguam mengaku faham sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Syahrul Sazly Md. Sain.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan dari tertuduh berikutan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tiada jaminan dibenarkan mahkamah dan mahkamah menetapkan 5 April depan bagi sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Norfarhanim Abdul Halim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh dan menyebabkan kematian, Manik yang juga warga Indonesia antara pukul 10.47 malam hingga 8.50 malam keesokannya di sebuah hotel di Taman Putra Kajang pada 23 Februari lalu.

Tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.

Pada 25 Februari lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang telah menerima satu panggilan daripada wanita Philipina yang merupakan pekerja kaunter di sebuah hotel bajet di Taman Putra Kajang telah menyatakan seorang perempuan tidak sedar diri dan disyaki meninggal dunia di sebuah bilik hotel berkenaan.

Saksi juga menyatakan pemeriksaan dalam bilik berkenaan dibuat setelah penghuni bilik berkenaan gagal daftar keluar pada masa yang ditetapkan.

Siasatan dapati mangsa, seorang wanita Indonesia berumur 31 tahun bekerja di sebuah kilang pembuat makanan, Seksyen 5 Bandar Bangi.

Pemeriksaan fizikal si mati tiada kecederaan yang nyata dan hanya terdapat kesan jerutan di leher si mati. – MalaysiaGazette