Mohamad bertanya khabar keadaan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman, Kampung Gubah, Segamat, Johor hari ini.

SEGAMAT – Banjir luar biasa yang melanda Johor kali ini memaksa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) buat pertama kalinya menggerakkan pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk membantu mangsa bencana alam itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keadaan itu tidak pernah berlaku sebelum ini dan ia merupakan kali pertama ATM menggunakan salah satu daripada tiga cabang ketenteraan utamanya iaitu TLDM untuk terlibat dalam misi banjir.

“Dari segi ATM, banyak aset yang kita pakai dan untuk pertama kali pasukan Tentera Laut pun dimasukkan (dan ini) pertama kali, TLDM tak pernah (terlibat), selalunya Tentera Darat Malaysia(TDM) sahaja kita gunakan.

“Tapi disebabkan banjir di Johor ini amat luar biasa, maka segala aset yang kita ada (digunakan) bawah 7 Briged (Briged Ketujuh Infantri Malaysia) di bawah Panglima dan dibantu oleh 3 Devisyen (Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat tinjauan mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman, Kampung Gubah, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, secara keseluruhannya di Johor sahaja, ATM telah mengerahkan 1,500 anggota termasuk TLDM, Batalion Kor Perubatan dan Kor Kejuruteraan untuk membantu kerajaan dan mangsa banjir.- MalaysiaGazette.