Keadaan banjir di Johor. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Terdapat sedikit peningkatan berhubung jumlah mangsa banjir di seluruh negara dengan yang terkini seramai 40,853 orang daripada 11,837 keluarga setakat pukul 12 tengahari tadi berbanding 40,648 orang daripada 11,776 keluarga pada pukul 6 pagi.

Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melaporkan, Johor mencatatkan jumlah mangsa seramai 37,258 orang daripada 10,792 keluarga yang ditempatkan di 240 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah yang terjejas.

Daerah Segamat merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 12,900 orang diikuti Batu Pahat (7,830), Kluang (5,285), Muar (3,278), Kota Tinggi (3,283),Tangkak (2,661), Mersing (964), Johor Bahru (699) dan Pontian (358) orang.

Pahang mencatatkan jumlah mangsa seramai 2,383 penduduk daripada 726 keluarga dipindahkan ke 21 PPS di enam daerah yang terjejas iaitu Rompin seramai 1,912 orang, Temerloh (297), Pekan (106), Bera (29), Maran (29) dan Jerantut (10) mangsa.

Negeri Sembilan pula merekodkan seramai 715 mangsa daripada 192 keluarga dipindahkan ke empat PPS di daerah Tampin membabitkan seramai 718 mangsa, manakala, PPS di Jempol sudah ditutup.

Sementara itu, Melaka mencatatkan seramai 380 mangsa daripada 97 keluarga yang ditempatkan di enam PPS di dua daerah yang terjejas iaitu Jasin (365 mangsa) dan Alor Gajah (15 mangsa).

Manakala, Sarawak merekodkan seramai 14 mangsa daripada lima keluarga yang dipindahkan ke satu PPS di Sarikei.

Keadaan banjir di Selangor turut meningkat dengan satu lagi daerah terjejas iaitu Kuala Selangor dengan 21 mangsa dipindahkan di satu PPS, manakala daerah Petaling seramai 82 mangsa daripada 17 keluarga dipindahkan di satu lagi PPS. – MalaysiaGazette