Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan bersama Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim serta mangsa yang lain menunjukkan laporan polis berkaitan kes penipuan pelaburan di IPD Sentul, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Sebuah syarikat pelaburan yang mendakwa dikaitkan dengan penipuan ke atas kira-kira 300 pelaburnya tampil mempertahankan diri.

Menurut kenyataan kepada media, syarikat itu mendakwa, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim dengan sengaja telah menuduhnya menjalankan aktiviti sindiket pelaburan saham secara menipu.

Kata kenyataan itu, hantaran Facebook milik Hishamuddin dipercayai merujuk kepada syarikat berkenaan sehingga membantut usaha memperoleh dana, sekali gus mengalami kerugian melibatkan ratusan juta ringgit.

“Kami dimaklumkan tindakan Datuk Hishamuddin Hashim daripada MHO terlibat menguar-uarkan kenyataan jahat, fitnah serta memalukan ke atas syarikat ini kononnya menjalankan pelaburan saham dan aktiviti sindiket pelaburan dengan menipu lebih daripada 300 mangsa.

“Berdasarkan komen netizen daripada Facebook itu, jelas kenyataan tersebut dipercayai merujuk kepada syarikat kami selari dengan terbitan Hisham di laman Facebooknya sebelum ini, telah menimbulkan kebencian, penghinaan dan cemuhan orang ramai ke atas syarikat ini.

“Setakat ini, tiada sebarang pelaburan saham dijalankan mahupun skim pelaburan ditawarkan syarikat ini kepada orang awam, sebaliknya kami hanya menjalankan penjualan saham syarikat melalui Islamic Redeemable Shares (RPS-i), yang mana semua saham syarikat yang dibeli pelanggan telahpun didaftar secara sah,” kata kenyataan itu.

Semalam, Hishamuddin dilaporkan berkata, pihaknya menerima aduan daripada mangsa yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang mengenai penipuan itu.

Katanya, mangsa memaklumkan mereka telah ditawarkan untuk membeli saham melalui RPS-i sebuah syarikat berhad.

Syarikat berhad tersebut juga memaklumkan mereka telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia melalui Information Memorandum bahawa jumlah minimum RPS-i yang dijual adalah sebanyak 250,000 unit dengan nilai RM1 bagi 1 unit.

Menurut kenyataan itu lagi, selepas mengambil kira pendapatan yang kurang memuaskan, syarikat terpaksa menghentikan sebarang pembayaran dividen kepada semua pemegang saham dengan terma dan syarat Perjanjian Langganan Saham yang ditandatangani dan dipersetujui kedua pihak.

Katanya, pihak syarikat masih berusaha dan bekerja keras bagi mencari pelabur untuk memasukkan dana.

“Namun, akibat pernyataan Hishamuddin yang mengaibkan, mencabul dan penuh cerca dalam sesi siaran media dengan memviralkan kes ini secara salah, telah membantutkan usaha syarikat untuk memperoleh dana bagi meneruskan aktiviti.

“Pihak kami telah mengalami kerugian berjumlah ratusan jutaan ringgit serta dimudaratkan dari segi kebolehpercayaan dan reputasi dalam menjalankan sebuah perniagaan yang sah apabila ianya telah diviralkan di semua media arus perdana,” katanya.

Justeru, pihaknya telah mengarahkan firma guamannya untuk mengambil tindakan undang-undang dengan jumlah tuntutan sebanyak RM100 juta kerana memfitnah syarikat ke atas pihak Hishamuddin dan juga MHO.

Katanya, tindakan itu diambil atas niat jahat mereka membuat kenyataan fitnah dalam sesi webinar pada 16 Februari lalu yang telah direkod dan dikongsikan secara umum demi mencari serta meyakinkan subcriber lain dalam menggunakan perkhidmatan MHO.

“Kami juga mendapati MHO telah memperoleh manfaat wang yang besar daripada sebahagian pemegang saham syarikat kami dengan mengutip wang daripada mereka bagi tujuan membuat laporan polis dan sidang media.

“Kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan MHO atas niat jahat menunggang media arus perdana, polis dan juga Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional dengan mengambil kesempatan dalam kesempitan orang ramai demi manfaat wang.

“Pada masa sama, menjatuhkan reputasi syarikat yang sedang beroperasi untuk memperoleh dana bagi kebaikan kesemua pemegang saham,” kata kenyataan itu.

Syarikat itu menuntut penjelasan MHO berkenaan jumlah fi perkhidmatan yang dikenakan kepada pemegang saham syarikat itu dan juga keterangan salah serta fitnah Hishamuddin yang menjejaskan reputasi syarikatnya. – MalaysiaGazette