JOHOR BAHRU – Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah setiap agensi bukan sahaja perlu cekap dan berkesan, tetapi juga mesti bekerjasama bagi mengatasi sebarang jurang atau cabaran dalam menangani jenayah seksual kanak-kanak.
Menurut baginda, kanak-kanak merupakan golongan rentan yang mana hak dan kepentingan mereka perlu dilindungi oleh kita semua, terutamanya agensi-agensi dalam sistem keadilan jenayah.
“Perubahan undang-undang dan struktur perlu diiringi dengan kesungguhan daripada setiap agensi yang terlibat untuk menyokong mangsa jenayah seksual kanak-kanak.
“Saya percaya perbincangan secara terbuka yang melibatkan kesemua agensi adalah kunci kepada penambahbaikan sokongan untuk kanak-kanak dalam sistem keadilan jenayah,” titah baginda.
Titah berkenaan dibacakan oleh Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam, yang mewakili Raja Zarith Sofia ke Seminar Multi-Agensi bertajuk “Melindungi Hak dan Menyokong Mangsa Jenayah Seksual Kanak-Kanak” di sini hari ini.
Seminar berkenaan dianjurkan oleh ‘Women’s Centre for Change’ (WCC) dengan kerjasama Pertubuhan Pergerakan Wanita Johor atau ‘Johor Women’s League’ (Jewel) dan sokongan ‘Canada Fund for Local Initiatives’ (CFLI).
Ia disertai lebih 40 peserta daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hospital-Hospital dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Mahkamah serta Badan Bukan Kerajaan (NGO).
“Saya berharap seminar ini akan mempermudahkan perkongsian data statistik kes-kes yang dikendalikan, isu-isu serta cabaran yang dihadapi masing-masing, selain inisiatif baru kesemua agensi,” titah baginda.- MalaysiaGazette