Penduduk yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berikutan kejadian banjir akibat hujan berterusan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Kebangsaan Gemereh, Segamat, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 05 MAC 2023.

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) — Hampir 55,000 orang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) yang melibatkan tiga negeri setakat 8 malam ini manakala keadaan banjir di Selangor dan Negeri Sembilan pulih sepenuhnya.

Johor terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 50,596 orang diikuti Pahang (3,014) dan Melaka (595).

Di JOHOR, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan 15 lagi PPS dibuka, menjadikan jumlah keseluruhan 268 pusat beroperasi di kesemua 10 daerah setakat ini.

Menurut JPBN, Batu Pahat menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 19,883 mangsa daripada 5,619 keluarga diikuti Segamat (13,527 orang daripada 3,969 keluarga), Kluang (4,893 orang/1,402 keluarga), Muar (4,235 orang/1,250 keluarga) dan Kota Tinggi (3,209 orang/851 keluarga).

Sebahagian daripada mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menjamu selra bersama ahli keluarga berikutan kejadian banjir akibat hujan berterusan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Kebangsaan Gemereh, Segamat, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 05 MAC 2023.

Tangkak menempatkan 3,003 mangsa daripada 879 keluarga, Mersing (1,103 mangsa/326 keluarga), Johor Bahru (393 mangsa/132 keluarga), Pontian (286 mangsa/72 keluarga) dan Kulai (64 mangsa/15 keluarga).

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di MELAKA terus meningkat kepada 595 orang daripada 147 keluarga setakat 8 malam berbanding 516 orang daripada 138 keluarga pada 2 petang tadi.

Sekretariat JPBN dalam satu kenyataan memaklumkan peningkatan itu melibatkan mangsa yang terjejas di daerah Jasin iaitu 585 orang daripada 144 keluarga dan mereka ditempatkan di lima PPS manakala satu PPS di Alor Gajah menempatkan 10 mangsa daripada tiga keluarga.

Di PAHANG, aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan jumlah mangsa banjir malam ini berkurangan kepada 3,014 orang di 21 PPS berbanding 3,042 orang di 22 PPS petang tadi.

Rompin merekodkan mangsa paling ramai iaitu 2,759 orang manakala jumlah mangsa di satu PPS di Temerloh ialah 226 orang dan 29 lagi berada di sebuah PPS di Maran.

Di SELANGOR, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memaklumkan PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau Sempak, Sungai Buloh ditutup secara rasmi petang tadi dan kesemua 13 mangsa daripada dua keluarga dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Di NEGERI SEMBILAN, APM memaklumkan PPS SK Sungai Kelamah, Tampin ditutup pada 2.07 petang tadi sekali gus menjadikan keadaan banjir di Tampin, Jempol dan Kuala Pilah pulih sepenuhnya susulan penutupan semua PPS di daerah itu. – BERNAMA