KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Johor menzahirkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peruntukan segera sebanyak RM50 juta untuk keperluan banjir di Johor.
Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia merupakan peruntukan tambahan lain selepas bantuan RM10 juta yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.
Selain bantuan, Kerajaan Persekutuan komited untuk mempercepatkan tender Rancangan Tebatan Banjir di Johor dan mempertimbangkan permohonan-permohonan peruntukan untuk kerosakan jalan, kemusnahan tanaman, ternakan dan sebagainya.
Kerajaan juga telah memutuskan penambahan segera aset-aset dan pegawai-pegawai di bawah kerajaan Persekutuan untuk hadir membantu dan komitmen untuk membantu kerja-kerja pasca banjir. Pelbagai kementerian dan negeri-negeri akan turut membantu.
Onn Hafiz turut mengucapkan terima kasih kepada Anwar yang turut meninjau situasi banjir di Segamat.
Katanya, sehingga hari ini, mangsa banjir di negeri itu mencecah 46,000. – MalaysiaGazette