Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak awal lagi telah mengesan dan terus memantau secara rapi aktiviti di media sosial oleh kumpulan di negara ini yang berkait dengan Islamic State (IS).

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai laporan media tempatan berhubung dakwaan terdapat aktiviti media sosial di Malaysia yang dikaitkan dengan kumpulan keganasan antarabangsa itu.

Katanya, laporan media berkaitan aktiviti berkaitan IS itu didapati daripada Nordic Counter Terrorism Network dari Finland.

“PDRM sejak awal lagi telah mengesan dan terus memantau secara rapi penyebaran propaganda melalui media sosial sebagai usaha mereka meraih sokongan kepada kumpulan yang dikaitkan Islamic State.

“Salah satu langkah yang telah dilaksanakan PDRM adalah mewujudkan kolaborasi rapat dengan agensi-agensi keselamatan serantau bagi memantau penyebaran propaganda sedemikian, agar tindakan dapat diambil ke atas pihak-pihak yang dikenal pasti terlibat,” katanya berhubung isu tersebut.

Dalam usaha berkenaan, kesemua agensi sedang memainkan peranan secara aktif dan pemantauan telah ditingkatkan bagi memastikan tahap ancaman keselamatan negara terus terjamin.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak gusar dengan
laporan media mengenai aktiviti penyebaran propaganda oleh pihak-pihak yang menyokong Islamic State.

“Berdasarkan situasi semasa, PDRM memberi jaminan bahawa tahap keselamatan negara
adalah terkawal.

“PDRM juga sangat komited dalam memastikan sebarang aktiviti yang boleh mendatangkan kemudaratan ketenteraman awam, diambil tindakan tegas tanpa kompromi demi mengekalkan kesejahteraan masyarakat,” tegasnya. – MalaysiaGazette