Arvend yang baharu sahaja diiktiraf sebagai ‘Tokoh Belia Negara 2022’ pada Disember tahun lepas.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melantik Arvend Applasamy sebagai Pegawai Khas menggantikan mendiang Datuk Ramesh Rao yang meninggal dunia akibat serangan jantung Januari lepas.

MalaysiaGazette difahamkan Arvend yang baharu sahaja diiktiraf sebagai ‘Tokoh Belia Negara 2022’ telah dilantik sebagai Pegawai Khas Hal Ehwal Kaum India kepada Ahmad Zahid berkuatkuasa pada 1 Mac lepas.

Pelantikan ini juga dianggap sebagai titik noktah persoalan siapakah yang akan menggantikan mendiang Ramesh bagi portfolio tersebut memandangkan Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu sentiasa fokus dalam menjaga kebajikan masyarakat kaum India di seluruh negara tanpa mengira fahaman politik selama ini. 

Berusia 29 tahun, Arvend bukanlah nama asing bagi segelintir terutamanya di Bagan Datuk kerana beliau bukan sahaja anak watan Parlimen itu sebaliknya sudah lama bergiat aktif dalam gerak kerja belia bermula dari Daerah Bagan Datuk dengan aktiviti sukarelawan bersama Majlis Belia Daerah Bagan Datuk dan beberapa NGO tempatan.

Bagi peringkat Negeri Perak pula, anak kepada vendor suratkhabar itu telah terpilih sebagai ADUN Belia Negeri Perak selama dua penggal berturut-turut selain diangkat sebagai Pengerusi Jawatankuasa dalam dua penggal itu.

Arvend juga pernah dinobatkan sebagai Tokoh Belia Negeri Perak 2022.

Pemimpin muda ini juga pernah menempa nama di peringkat kebangsaan dengan mewakili Malaysia ke 12 negara bagi menyertai program belia dan Global Youth Parliament dan merangkul lima Anugerah Antarabangsa sebelum ini atas sumbangan beliau dalam kerja sosial serta perhubungan antarabangsa.

Untuk makluman, sebelum ini Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dan Barisan Nasional (BN) pernah berikrar untuk terus memperjuangkan kebajikan masyarakat India di negara ini terutamanya berkaitan isu kemiskinan bandar, kemudahan infrastruktur dan utiliti di kawasan perladangan serta aspek pendidikan.

Kata beliau, tiga perkara itu adalah tumpuan utama beliau dalam membantu masyarakat India sejak dahulu lagi.

Ketika melantik mendiang Ramesh, Ahmad Zahid pernah berkata jawatan Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri itu sebenarnya diwujudkan selepas melihat terdapat keperluan untuk membantu individu, badan bukan kerajaan dan masyarakat India secara keseluruhannya. -MalaysiaGazette