Zulkifli Mohamad Al-Bakri

KUALA LUMPUR – Watak Aisyah dalam Mentega Terbang kekal Muslim walaupun ayahnya terbuka untuk anaknya murtad.

Pandangan tersebut dibuat oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri selepas menonton filem tersebut sehingga tamat pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun menurut beliau, dalam filem itu Aisyah seakan percaya kepada konsep kelahiran semula.

“Penghujung filem Mentega Terbang adalah jawapan kepada keseluruhan persoalan-persoalan yang timbul.

“Saya beranggapan Aisyah masih kekal Muslim walaupun ayahnya terbuka untuk anak murtad.

“Pun begitu, Aisyah seakan percaya kepada konsep kelahiran semula apabila melihat seekor kupu-kupu (butterfly) yang hinggap di batu nisan ibunya dan tersenyum puas,” katanya.

Dalam ulasan tentang filem tersebut yang dikongsi diblognya, bekas Menteri Agama itu juga berkata, minat dan kesungguhan Aisyah terhadap agama lain secara asasnya tidak menjadi masalah.

Ini kerana menurut Zulkifli, Islam mengiktiraf ilmu perbandingan agama dan ia bukan sesuatu yang baharu dan disebut dalam al-Quran dan kajian oleh ilmual Islam.

Bagaimanapun persoalan yang timbul adalah rujukan Aisyah dalam hal agama Islam adalah melalui watak ‘bapanya’.

Ini kerana bapa Aisyah agak berbeza daripada peribadi Muslim iaitu bertatu, berseluar pendek dan terbuka untuk anaknya murtad.

Sementara itu Zulkifli berkata, beliau turut menemui banyak unsur memperlecehkan agama Islam dan agama lain dalam filem itu.

“Saya yakin, tidak ada penganut Kristian yang baik dan cakna dengan sensitiviti, sanggup membawa masuk anjing ke dalam kawasan rumah seorang Muslim yang baik.

“Saya juga yakin, seorang Hindu yang baik juga tidak akan memakan daging lembu sebagaimana perlakuan Suresh.

“Sebagaimana saya juga yakin, seorang Muslim yang baik dan menghormati mazhab setempat tidak akan menyentuh anjing tanpa sebab. Anjing adalah termasuk sebagai najis mughallazah iaitu najis berat pada seluruh tubuhnya (Al-Nawawi, 1972: 3/185),” kata Zulkifli.

Menurut Zulkifli, Mentega Terbang adalah satu karya yang menzahirkan kegagalan sistem rumahtangga Muslim yang baik dari sudut tarbiyyah anak, pengajaran tanpa ilmu yang lebih menonjolkan logik dan akal.

Filem itu juga meletakkan beban kesalahan kepada watak Muslim berbanding agama-agama lain.

Mentega Terbang juga menampilkan watak penganut Kristian yang kelihatan baik tetapi tidak menghormati ajaran Islam, begitu juga seorang Hindu yang terang-terang melanggar ajaran agamanya.

Serentak itu Zulkifli menyarankan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia perkukuhkan kerjasama dalam aspek yang lebih luas.

Tidak mustahil katanya, meletakkan pra-syarat untuk mengambil kira pandangan JAKIM dalam penghasilan filem atau drama dan satu akta boleh diwujudkan untuk tujuan itu.

Penerbitan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-bahan Penyiaran Berunsur Islam oleh JAKIM boleh diangkat sebagai rujukan yang mempunyai impak perundangan.

Peranan bahagian penapisan filem dan drama juga perlu diperluaskan ke filem dan drama yang dimuatnaik ke penstriman video dalam talian.-MalaysiaGazette