KUALA LUMPUR – Kerajaan memahami keresahan rakyat terutamanya golongan B40 untuk melunaskan ansuran bulanan yang semakin meningkat berikutan kenaikan Kadar Dasar Semalam (OPR) baru-baru ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, bukan semua peminjam terkesan dengan peningkatan OPR kerana peningkatan kepada ansuran bulanan hanya melibatkan peminjam yang mempunyai pinjaman jenis berkadar
terapung.
“Setakat Disember 2022, sebahagian peminjam iaitu 50.3 peratus daripada jumlah akaun pinjaman dalam sektor isi rumah adalah pinjaman berkadar tetap berjumlah 6.4 juta akaun.
“Bagi peminjam berpendapatan rendah iaitu pendapatan kurang dari RM5,000 sebulan termasuk golongan B40, dianggarkan sebanyak 54.8 peratus daripada jumlah akaun pinjaman adalah berasaskan kadar tetap melibatkan 3.5 juta akaun,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Shaharizukirnain Abd Kadir (Pas-Setiu) yang ingin mengetahui sama ada Kerajaan melaksanakan kajian terhadap kesan OPR terhadap golongan B40 yang terhimpit oleh kesan kenaikan kadar bayaran pinjaman bulanan yang semakin tinggi.
Mengulas lanjut Ahmad memberitahu, walaupun kenaikan OPR itu akan memberi kesan kepada peminjam dan penyimpan, langkah itu adalah wajar dan perlu bagi memastikan inflasi terkawal dan ekonomi terus mapan.
Katanya, ekonomi yang sihat dan keadaan harga yang lebih stabil akan memberi limpahan yang lebih baik kepada semua rakyat.
Tambah beliau, kenaikan OPR sebanyak 100 mata asas mencerminkan pengembalian tahap akomodasi dasar monetari ke tahap yang wajar berikutan pengurangan sebanyak 125 mata asas semasa pandemik.
“Oleh itu, bagi pinjaman berkadar terapung yang diambil sebelum pandemik, sebahagian besar daripada jumlah pinjaman terkumpul, jumlah ansuran bulanan pada masa ini masih lebih rendah berbanding jumlah ansuran sebelum pandemik iaitu 3 peratus.
“Bagi golongan peminjam mudah terjejas yang masih menghadapi kesukaran akibat kenaikan jumlah ansuran pinjaman, pelbagai program bantuan masih tersedia.
“Antara bantuan tersebut adalah bantuan bayaran balik pinjaman secara bersasar oleh bank, khidmat nasihat dan bantuan
program AKPK iaitu Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit,” tambahnya. – MalaysiaGazette