Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis telah memulakan siasatan terhadap filem ‘Mentega Terbang’ yang didakwa cuba menyebar dan mempersendakan agama Islam selepas menerima laporan polis.

Setakat ini sebanyak lapan laporan telah diterima di seluruh negara.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, siasatan telah dimulakan dan dikendalikan sepenuhnya oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Katanya, kes berkenaan juga disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu melukakan perasaan umat Islam yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan Seksyen 505b Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan dan kegentaran kepada awam yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahannya.

Semalam, pihak yang mewakili filem ‘Mentega Terbang’ menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mereka cuba menyebarkan ajaran sesat yang berunsur menghina agama Islam.

Penerbit, pengarah dan penulis skrip filem kontroversi, ‘Mentega Terbang’ juga telah mengemukakan notis tuntutan kepada penulis, Zabidi Mohamed supaya memadamkan segera kenyataan yang mengaitkan filem itu sebagai mempermaindan mempersendakan agama Islam.

Mohd Khairi Anwar Jailani turut menuntut Zabidi membuat permohonan maaf secara terbuka atas kenyataan fitnah yang dibuat terhadap pasukan Mentega Terbang.

Selain Khairi, empat lagi individu yang terbabit dalam penghasilan filem Mentega Terbang iaitu Tan Meng Kheng, T Arjun, R Vishnuvarman dan Ti-Teng Hui turut menafikan sebarang dan semua bentuk dakwaan bahawa filem itu sama sekali berusaha untuk menghujat, mengkufur dan berhasrat untuk mewujudkan budaya murtad dalam kalangan orang Islam seperti didakwa Zabidi.- MalaysiaGazette