Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki yang disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di dalam tandas di sebuah surau dan rumah suspek di Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada 3 Mac lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, kedua-dua suspek dicekup dalam dua serbuan berasingan selepas kejadian itu.

Mohd. Asri berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berkaitan kes cabul itu pada jam 4.53 petang.

“Hasil siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek yang berusia 56 tahun dan 74 tahun itu juga dipercayai menunjukkan kemaluan (alat sulit) mereka kepada mangsa perempuan itu,” kata beliau dalam kenyataan.

Menurut Mohd. Asri, kedua-dua suspek kemudian dilibatkan dalam ujian saringan air kencing namun didapati negatif dadah selain semakan mendapati mereka tidak memiliki rekod jenayah lampau.

Tambah beliau, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula Sabtu lalu sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 14 (A) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan 15 (A)(i) akta yang sama.

Mohd. Asri berkata, beliau percaya dengan tertangkapnya kedua-dua suspek, polis berjaya menyelesaikan kes cabul itu. – MalaysiaGazette