Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek melakukan lawatan di sekitar kawasan sekolah yang terjejas akibat banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Seri Bali, Chaah, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 06 MAC 2023.

SEGAMAT – Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyegerakan peruntukan dana bagi kerja-kerja penyelenggaraan membaik pulih kerosakan 17 buah sekolah di Johor khususnya daerah Segamat yang paling banyak terjejas akibat banjir.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ia selepas beliau melihat sendiri kerosakan di beberapa buah sekolah di daerah ini termasuk sebahagian besarnya mengalami kerosakan tahap kritikal.

“Saya dapati, kerosakan ini mesti dipulihkan segera bagi membolehkan anak-anak kita bersekolah dengan selamat, jadi kita akan mulakan segera dari segi penyaluran dana untuk kerja-kerja membaik pulih.

“Kita akan segerakan proses ini sebelum pelajar memulakan sesi persekolahan dua minggu lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bali dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chaah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, daripada 17 buah sekolah yang rosak, 14 adalah di daerah Segamat termasuk beberapa yang mengalami kemusnahan besar.

“Ini yang kita kena bagi tumpuan dan saya sudah menerima laporan teknikal jurutera untuk menilai kerosakan itu antaranya meja guru dan juga perabot sekolah,” katanya. – MalaysiaGazette.