Pemandu Lexus rempuh enam kenderaan di persimpangan lampu isyarat Bukkit Jalil positif ganja dan ditahan bantu siasatan polis.

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu yang disiasat kerana merempuh enam buah kenderaan yang sedang menunggu di persimpangan lampu isyarat berhampiran Lebuhraya Bukit Jalil, di sini, semalam didapati positif dadah jenis ganja daripada ujian yang dilakukan ke atasnya..

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, lelaki berusia 40 tahun itu yang memandu kenderaan jenis Lexus itu dipercayai hilang kawalan kerana memandu terlalu laju.

“Kenderaan itu kemudian telah melanggar enam buah kenderaan lain yang ketika itu sedang berhenti menunggu di persimpangan jalan lampu isyarat.

“Kemalangan itu mengakibatkan kenderaan yang terlibat mengalami kerosakan, bagaimanapun kejadian tidak melibatkan sebarang kecederaan nyawa pemandu kenderaan-kenderaan lain,” kata beliau dalam kenyataan pagi ini.

Tambah beliau, pemandu Lexus itu kemudian ditahan semasa hadir memberi keterangan di balai polis untuk membantu siasatan.

Ujarnya, suspek kemudian dilibatkan dalam ujian saringan air kencing sebelum disahkan positif dadah jenis ganja.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau balai polis berhampiran.-MalaysiaGazette