Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Perhimpunan Bulanan bagi bulan Mac tahun 2023 ketika di Puspanitapuri, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 06 MAC 2023.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar memuji penjawat awam yang terlibat dalam isu penyelesaian dua firma pelaburan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments PJS (Aabar PJS) hingga bersetuju membayar AS$1.8 bilion kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perdana Menteri berkata, ini kerana rundingan yang melibatkan pegawai kerajaan dengan firma pelaburan tersebut adalah bukti kecekapan penjawat awam dalam mengendalikan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

Malah lebih membanggakan, kata beliau, jumlah akhir penyelesaian itu melebihi sasaran kerajaan yang pada mulanya ditetapkan antara AS$1.5 bilion dan AS$1.7 bilion.

“Tahniah kepada Peguam Negara dan jabatannya termasuk semua yang terlibat dalam rundingan yang tidak banyak bergantung kepada perunding luar.

“Setinggi-tinggi penghargaan saya kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga kerana menggunakan hubungan mesra baginda dengan Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan untuk memudahkan rundingan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dewan De’ Seri Endon, Puspanitapuri, di sini, hari ini.

Pada 27 Februari lalu, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan penyelesaian itu dicapai dalam prosiding undang-undang yang berlangsung di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London dan Mahkamah Tinggi London.

“Dengan penyelesaian ini, Malaysia dan Abu Dhabi berharap untuk terus bekerjasama demi kemakmuran dan faedah ekonomi kedua-dua negara pada masa hadapan,” kata MOF menerusi kenyataan itu lagi.

Pada 27 November 2019, Jabatan Peguam Negara dalam kenyataannya, memaklumkan 1MDB dan MKD berjaya dalam rayuannya mengetepikan Award Persetujuan terhadap IPIC dan Aabar PJS di Mahkamah Rayuan London.

Mengulas lanjut, Anwar gembira kerana penjawat awam tidak bergantung kepada perunding luar untuk menyelesaikan isu penyelesaian 1MDB itu.

Tegasnya, beliau tidak menentang pergantungan kerajaan kepada perunding luar atau menganggap peranan golongan itu tidak penting.

“Tetapi apa yang saya ingin tunjukkan ialah kepakaran atau kemahiran yang kita miliki, jika digalakkan, boleh memberi ruang kepada mereka yang lebih muda untuk membuktikannya,

“Jika kita menunjukkan contoh yang baik kepada pegawai kita dengan tidak mempunyai kepentingan dalam apa-apa jenis urusan, pegawai tersebut boleh pergi jauh dengan yakin,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast