Penduduk setempat menggunakan bot bagi meninjau keadaan banjir yang masih belum surut berikutan hujan berterusan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Paya, Yong Peng, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 04 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Maybank dan CIMB Bank bersetuju memberi kemudahan moratorium pinjaman selama enam bulan kepada pelanggan yang terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini menjadikan sebanyak tiga buah bank yang melaksanakan moratorium untuk mangsa banjir, termasuk Agrobank yang diumum semalam.

Sehubungan itu, beliau menyeru supaya bank-bank lain turut mengambil langkah sama bagi membantu pelanggan yang terjejas akibat bencana itu.

“Setakat ini Maybank dan CIMB telah bersetuju untuk memberi moratorium selama enam bulan kepada negeri yang terkesan dengan banjir dan dengan langkah ini kita akan menghubungi bank-bank lain supaya mengikuti langkah yang diambil oleh maybank dan CIMB, Agrobank juga menteri sudah sebut,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) pada persidangan Dewan Rakyat,  hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim (Perikatan Nasional) yang minta Perdana Menteri menyatakan penjelasan kerajaan persekutuan mengapa masih tidak melaksanakan darurat banjir khususnya di Johor sedangkan situasi semakin buruk dengan jumlah mangsa banjir terus melonjak di pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga 44,860 orang setakat 8 pagi Ahad lalu dan sudah meragut empat nyawa serta ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bahawa hujan berterusan pada tahap buruk sehingga Selasa.

Menjawab soalan itu, Anwar berkata, tiada keperluan untuk kerajaan mengisytiharkan darurat banjir di Johor kerana keadaan terkini semakin terkawal.

Dalam masa yang sama katanya, penguatkuasa di negeri berkenaan melaksanakan persiapan yang baik bagi menghadapi bencana tersebut.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan akan meneruskan projek tebatan banjir di Johor dan Sungai Golok, Kelantan.

Bagaimanapun ujar Anwar, projek berkenaan akan dilaksanakan tanpa proses rundingan terus yang bakal menjimatkan kos perbelanjaan.

“Kita nak pastikan projek tebatan banjir itu projek mendesak tapi kaedahnya jangan rundingan terus kerana kos meningkat jadi kita kata kita guna proses tender terhad tetapi percepatkan projek itu dan apabila kita guna tender terhad, kos itu terus menurun.

“Jadi sebab itu kita guna kaedah itu ini bukan isu politik, bukan hanya projek tebatan banjir semua projek kalau belum ditandatangani saya batalkan untuk memastikan kita ada tender takkan itu pun salah?

“Saya batalkan proses dan guna kaedah baru tender saya teruskan dalam kadar segera bukan batalkan projek tebatan banjir tetapi batalkan rundingan terus,” tambah Anwar. -MalaysiaGazette