Pelakon, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin selepas menghadiri ke mahkamah bagi sebutan prosiding sebutan kes permohonan cerai dengan suaminya, Syamsul Yusof di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 07 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rendah Syariah, di sini, hari ini memerintahkan pasangan suami isteri, Puteri Sarah dan pengarah filem, Syamsul Yusof supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka.

Hakim Mahkamah Syariah, Akmaluddin Ilyas memerintahkan pasangan berkenaan dirujuk kepada JKP bagi proses berikutan selepas Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Shamsul Md Yusof enggan menceraikan Puteri Sarah pada prosiding sebutan kes hari ini.

Syamsul melalui peguam, Rushdan Sujak memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya enggan melepaskan Puteri Sarah atau nama sebenar Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin kerana percaya masih ada harapan untuk berdamai.

Bagaimanapun, difahamkan Puteri Sarah tetap mahu beliau diceraikan dengan cara baik.

Ketika ditemui di luar bilik bicara, pelakon itu menyatakan sudah tidak sinar dalam perkahwinan mereka.

Just let me go. Apa sinarnya dalam perkahwinan ini? Sebelum ini tidak ada apa-apa sejak tahun 2000, mengapa kini ada sinar pula? Lepaskanlah saya dengan baik Syamsul.

“Syamsul pun sudah kahwin lain, saya tidak marah malah doakan mereka. Lepaskan saya,” ujarnya.

Bagaimanapun Syamsul yang ditemui media enggan mengulas,  sebaliknya hanya menunjukan tanda peace sebelum masuk ke dalam lif.

Pengarah filem, Syamsul Yusof hadir ke mahkamah bagi sebutan prosiding sebutan kes permohonan cerai dengan isterinya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 07 MAC 2023.

Pada 16 Januari lalu, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian itu di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh, antara alasan yang dikemukakan Puteri Sarah untuk bercerai ialah sudah tidak ada persefahaman dan telah berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri menurut hukum syarak.

Pelakon filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie itu dilaporkan berkata, tuntutan cerai dibuat selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan perdamaian, selain enggan bermadu selepas Syamsul bernikah dengan Ira Kazar di Thailand. -MalaysiaGazette