KUALA LUMPUR – Kelibat seorang lelaki yang disangkakan tidur akibat kepenatan di luar rumahnya rupa-rupanya sudah meninggal dunia.
Kejadian itu disedari jirannya selepas mendapati keadaan rumah itu sunyi ketika cuba memanggil lelaki yang tinggal seorang diri di rumah itu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Selangor Morni Mamat berkata, bilik gerakan operasi negeri telah menerima panggilan kecemasan lebih kurang 6.26 petang tadi, memaklumkan seorang lelaki berada dalam keadaan tidak sedar diri di depan rumah pintu pagarnya berkunci.
Bertindak atas maklumat berkenaan, sepasukan anggota telah bergegas ke lokasi kejadian yang beralamat di Jalan Intan 4, Taman Cheras Permata, Cheras di sini.
“Pintu pagar sebuah rumah teres setingkat terkunci dan terdapat seorang lelaki tempatan berusia 64 tahun dalam keadaan terbaring dan tidak sedar diri di hadapan rumah tersebut.
“Bomba bertindak membuka pintu pagar berkunci itu menggunakan peralatan khas sebelum mendekati mangsa yang terbaring dalam keadaan tidak sedar diri itu.
“Pihak perubatan kementerian Kesihatan yang dipanggil ke lokasi dengan ambulans telah memeriksa keadaan lelaki berkenaan dan mengesahkan dia meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan malam ini. – MalaysiaGazette