PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin kerjasama blok politik khususnya antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan akan bertahan sekurang-kurangnya satu penggal.
Beliau juga menemplak kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kononnya Kerajaan Perpaduan akan tumbang dalam masa terdekat.
“Saya yakin kerjasama ini (Kerajaan Perpaduan) akan bertahan sehingga habis penggal.
“Apa sahaja yang dikata Presiden Pas itu, saya yakin gabungan ini akan bertahan hingga habis penggal.
“Ia (kenyataan itu) tidak lebih hanya retorik politik,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada sesi interaksi Perdana Menteri bersama Ketua-ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia secara maya sempena Sesi Pemukiman Wisma Putra, di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Rabu lalu, media melaporkan Presiden Pas itu meramalkan Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Anwar akan tumbang tidak lama lagi.
Sebelum ini, Abdul Hadi ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 di Parlimen pada Selasa lalu, mengingatkan pemimpin kerajaan agar tidak menyalahkan pembangkang sekiranya pentadbiran hari ini jatuh sekali lagi. – MalaysiaGazette