Khlir Mohd Nor

KUALA LUMPUR – Selepas seorang ahli Parlimen dari blok pembangkang dihalau keluar daripada mengikuti sesi penggulungan, Dewan Rakyat pada sesi petang ini sekali lagi “hangat” apabila isu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut disentuh.

Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) ketika bangun mencelah penggulungan Belanjawan 2023 oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, beremosi apabila celahannya diganggu.

“Diam, diam…hei kamu ni, kamu ni benci askar yea..kurang ajarlah dia ni,” katanya yang dipercayai memarahi seorang Ahli Parlimen.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan siapakah yang mengganggu celahan beliau itu kerana kamera di Dewan Rakyat tidak memfokuskan kepada ahli Parlimen berkenaan.

Bagi meredakan suasana, Timbalan Yang Dipertua, Alice Lau meminta agar Khlir duduk jika tidak ada soalan yang hendak ditanyakan.

Khlir kemudiannya berkongsi pengalaman mendukung mayat rakannya ketika berperang dengan komunis.

Beliau menceritakan kisah itu bagi menzahirkan kekecewaan veteran ATM yang masih ternanti-nanti janji penyelarasan pencen yang ditawarkan sejak sekian lama, seolah-olah pengorbanan mereka melawan pengganas komunis tidak dihargai.

“Saya pernah bertempur dengan komunis. Seorang daripada anggota saya mati. Aku pikul mayat dia. Dua pengganas komunis mati.

“(Tapi) apa jadi pada penyelarasan pencen dia? Kebanyakan mereka ini yang berkhidmat semasa darurat dah berumur 70 tahun ke atas sekarang. Jadi mereka ini ternanti-nanti.

“Bajet besar atau tidak, kita kena selesaikan juga benda ini menteri. Tolonglah saya,” katanya dalam nada keras.

Menjawab celahan itu, Mohamad memberi jaminan isu berkenaan menjadi fokus Kementerian Pertahanan dan sedang berusaha merangka formula yang sesuai bagi membolehkan penyelarasan pencen veteran ATM dapat direalisasikan, di samping mengimbangi kemampuan kewangan kerajaan.

ujarnya, ia berikutan jumlah yang diperlukan untuk melaksanakan penyelarasan pencen veteran ATM bakal mencecah berbilion ringgit.

“Kami sedang mencari formula kerana kami tak mahu sekadar hantar saja, kemudian ditolak. Kita nak melihat isu ini diselesaikan. Kalau tak dapat banyak, sikit pun tak apalah, asalkan dapat.

“Pada masa sama, kita turut usahakan dengan cara lain juga. Kita telah cadangkan, dan dijangka akan lulus, supaya penambahan jumlah penerima bantuan sara hidup bulanan RM300 kepada veteran ATM, sama ada berpencen atau tidak berpencen, dinaikkan daripada 9,000 kepada 15,000 penerima.

“Tapi penerima kebanyakannya adalah mereka yang berusia 80 tahun ke atas dulu dan yang layak. Ini sedang kita lakukan sementara menunggu buah ini (penyelarasan pencen) masak dan dapat dimakan, kita buat perkara sampingan,” tambahnya. – MalaysiaGazette