Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka dua kertas siasatan berhubung satu artikel bertajuk ‘Rahsia Mafia Korporat Malaysia Victor Chin Boon Long’ yang didakwa memperalatkan pihak penguat kuasa dalam negara ini.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menerima laporan polis berhubung perkara itu pada 25 Mei 2022.

“Rentetan penerimaan dua laporan polis itu, polis telah membuka kertas siasatan dan sedang meneruskan siasatan.

“Dalam laporan itu ada menyatakan wujud salah laku dan penyelewengan kewangan membabitkan wang berjumlah kira-kira RM30.7 juta dalam pengurusan syarikat Caely (M) Sdn Bhd (anak syarikat milik Caely Holdings Berhad),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Noorsiah, kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan bagi kesalahan pecah amanah oleh ejen.

Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat oleh polis pada 21 September lalu untuk melakukan siasatan di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan.

“Tindakan itu dibuat bagi kesalahan menyebabkan hilangnya keterangan mengenai satu kesalahan dilakukan atau memberi dimaklumkan atau memberi maklumat palsu mengenai kesalahan itu untuk mengelak pesalah daripada hukuman.

“Kemudian kedua-dua kertas siasatan itu sudah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara, Putrajaya pada 27 Februari lalu untuk arahan dan keputusan lanjut dalam kes ini,” ujarnya.

Terdahulu, satu portal berita tempatan telah menerbitkan sebuah artikel berhubung sekumpulan individu melakukan cubaan merampas syarikat senarai awam Caely Holdings dan sebuah syarikat lain.

Kemelut perebutan mengakibatkan kejatuhan harga saham malah ia mendakwa turut membabitkan agensi penguatkuasaan, penyiasatan, penahanan dan pembekuan akaun ahli lembaga pengarah syarikat itu.- MalaysiaGazette