Manuel Ott. Foto Facebook KDA FC.

KUALA LUMPUR – Kapten pasukan Kedah Darul Aman FC, Manuel Ott mahu melupakan insiden layangan kad merah ketika menentang PDRM FC tempoh hari.

Dia ingin fokus untuk aksi pusingan pertama Piala FA berdepan Penang FC malam ini.

Apa yang pasti, dia enggan perkara sama berulang sambil menegaskan mahu mengambil pengajaran atas kesilapan yang telah berlaku ketika tewas 0-1 kepada PDRM dan pasukan perlu bangkit untuk memastikan mereka layak ke pusingan seterusnya di pentas Piala FA musim ini.

Pemain berusia 31 tahun itu juga positif Kedah masih di landasan yang tepat untuk memburu kemenangan dalam aksi seterusnya dan bersedia memperbaiki kelemahan sambil menyifatkan Penang merupakan lawan yang tidak boleh diambil mudah.

“Tempoh hari menentang PDRM memang perlawanan yang agak penuh dengan emosi tetapi akhirnya ia menjadi tanggungjawab kita untuk tetap fokus aksi seterusnya dan kita cuba untuk raih kemenangan lawan Penang nanti.

“Bagi saya, ini baru permulaan musim dan dengan pemain baharu, falsafah baharu sudah tentu ia bukan mudah dan kita sedang berusaha untuk memberikan segalanya di atas padang.

“Untuk Piala FA ini, ia tetap bukan mudah tidak kira dengan siapa pun kita lawan dan fokus kami adalah terhadap pasukan sendiri, jadi yang penting adalah kita tidak mahu lagi melakukan kesilapan yang sama ketika lawan PDRM,” jelasnya.

Kelmarin, bekas pemain Terengganu FC ini dilayangkan kad merah pada minit-59 aksi Liga Super ketika menentang PDRM FC menyaksikan suasana perlawanan yang lebih tertekan sebelum Kedah tewas 0-1.

Namun, untuk saingan Piala FA pada malam ini, sudah tentu Ott mengharapkan suasana yang lebih positif dapat dirasai antara penyokong di Stadium Darul Aman meskipun sedar mereka kecewa dengan kekalahan tempoh hari.

Bahkan, dia dan rakan sepasukan tetap menghargai sokongan daripada seluruh penyokong dan ingin menebus kembali kekecewaan dalam memastikan kemenangan ke atas Penang, malam esok.

“Saya sentiasa katakan yang penyokong-penyokong di sini sentiasa hebat dan mereka sanggup datang ke stadium bukan untuk dikecewakan dengan kekalahan.

“Tetapi macam saya cakap, ini baru permulaan musim dan kami tetap tidak mengalah untuk meletakkan pasukan di tahap terbaik, jadi hari esok sudah tentu kita ingin memberikan kegembiraan kepada penyokong semua,” tambahnya.

Dua perlawanan pusingan pertama Piala FA akan bermula malam ini menyaksikan Penang FC berkunjung ke Stadium Darul Aman manakala Perak FC akan berdepan Sri Pahang FC di Stadium Perak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast