Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir ke Majlis Perasmian Festival Taman Kuala Lumpur 2023 di Taman Tasik Titiwangsa. Foto MOHD ADZLAN, 09 MAC 2023.

KUALA LUMPUR- Menteri berkuasa untuk mengatasi (override) keputusan yang dibuat oleh pegawai atau agensi yang berkaitan di bawahnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ada kalanya beliau sendiri mengatasi keputusan pegawai beliau apabila merasakan ia lebih baik untuk kepentingan semua.

“Biasanya, dalam kerja saya di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan, adakalanya saya boleh mengatasi keputusan pegawai saya, umpamanya dulu pegawai diarah memberi projek mengikut rundingan terus, saya mengatasi keputusan mereka kerana saya fikir lebih baik proses tender supaya lebih telus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Festival Taman Kuala Lumpur di Taman Tasik Titiwangsa, di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai tindakan Menteri Dalam Negeri yang dikatakan mengatasi keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung usul tambahan Perhimpunan Agung UMNO 2022 untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti itu, Anwar meminta Datuk Seri Saifuddin Nasution sendiri untuk memberi penjelasan.

“Dalam peruntukan undang-undang ada kuasa RoS yang (mana keputusannya) akan dikemukakan kepada menteri dan ada kuasa menteri.

“(Dalam isu ini) biar menteri jelaskan, dan menteri telah pun memberi penjelasan,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, telah mendapat jawapan daripada Menteri Dalam Negeri berhubung keputusan usul tambahan yang dicapai dalam PAU 2022.

Pada masa sama, beliau mengakui tidak mengetahui surat tular didakwa daripada RoS berhubung usul tambahan supaya dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan.

Surat berkenaan tular di media sosial selepas KDN memberi pengecualian kepada UMNO berhubung usul tiada pertandingan bagi dua jawatan teratas parti berkenaan dalam pemilihan akan datang pada 18 Mac.

Surat yang disiarkan menerusi laman Facebook Planetmalaya antara lain mengatakan UMNO perlu mengambil tindakan pembetulan dengan tidak mengetepikan Perlembagaan UMNO di bawah Fasal 9.3 dalam pelaksanaan Pemilihan Majlis Tertinggi UMNO. – MalaysiaGazette