Abdul Kalam (tengah) menunjukkan kawasan Rancangan Tebatan Banjir, (RTB) Sungai Rambai-Sungai Kesang yang terbengkalai sejak enam tahun lalu dan menjadi punca kepada masalah 'banjir' termenung di kawasan Sungai Rambai.

MELAKA – Lebih 5,000 penduduk khususnya di 13 kawasan sekitar Sungai Rambai merayu kerajaan meneruskan semula projek Rancangan Tebatan Banjir, (RTB) Sungai Rambai-Sungai Kesang yang terbengkalai sejak enam tahun lalu.

Menurut mereka, kegagalan kerajaan meneruskan projek yang 40 peratus siap dan terbiar sejak 2017 itu menjadi punca lebih banyak kawasan terjejas banjir kali ini berbanding sebelumnya.

Penduduk, Abdul Kalam Hassan, 63, berkata, akibatnya, mereka terpaksa berdepan fenomena ‘banjir termenung’ iaitu situasi air bergenang untuk tempoh yang lama walaupun ketika cuaca panas kerana air ‘terperangkap’ akibat tiada sistem pengaliran ke laut.

Abdul Kalam Hassan

“Sepatutnya, projek terusan tebatan banjir ini dibina lurus dari Sungai Kesang terus menuju ke laut supaya limpahan air tidak hanya melalui sungai yang berliku-liku menyebabkan kawasan sekitarnya banjir.

“Namun laluan terusan itu terhenti setakat laluan Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) menyebabkan limpahan air masuk semula ke dalam sungai yang sama.

“Ini menyebabkan masalah banjir yang melanda kawasan ini tidak dapat diselesaikan,” katanya ketika ditemui di sini.

Seorang lagi penduduk Kampung Janda Berhias, Muhammad Nur Rafiq Rosli, 24, masalah banjir termenung tidak pernah berlaku dalam tempoh yang lama sebelum ini, malah jumlah penempatan terjejas juga tidak sebanyak kali ini.

“Biasanya sebelum ini cuma ada dua atau tiga buah kampung sahaja hadapi banjir termenung tetapi kali ini sampai empat buah kampung.

“Sejak Sabtu lepas, banjir paras lutut tidak surut-surut menyebabkan banyak urusan harian tergendala sedangkan sekarang sudah tidak hujan malah cuaca panas,” katanya.

Datuk Hasan Abd. Rahman

Sementara itu Ketua UMNO Bahagian Jasin Datuk Hasan Abd. Rahman berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu memastikan projek yang 40 peratus siap itu diteruskan selaras dengan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Ahad lalu.

“Ahad lalu, Perdana Menteri sudah arahkan supaya semua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM600 juta ke atas diarahkan diluluskan memulakan projek Jun ini, bagi mengelakkan bencana banjir berulang.

“Jadi saya melihat ini adalah peluang terbaik untuk kita selesaikan punca kepada kejadian banjir di Sungai Rambai yang mempunyai populasi 22,000 penduduk akibat kegagalan reka bentuk bypass atau terusan pada projek RTB ini,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast