MELAKA – Melaka masih menunggu kebenaran daripada kerajaan Johor untuk meneruskan sebahagian lagi Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Rambai-Sungai Kesang yang tertangguh sejak enam tahun lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, isu kedudukan Sungai Kesang bersempadanan antara dua negeri itu perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum projek yang tertangguh sejak 2017 itu dapat diteruskan.
Menurutnya, beliau telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk berbincang dengan rakan sejawatannya di Johor mengenai perkara itu.
“Masalah dengan Sungai Kesang ini adalah kerana ia bersempadan dengan Johor yang mana Melaka tiada masalah untuk teruskan tapi kita belum dapat keputusan daripada negeri jiran.
“Banjir yang berlaku di Jasin terutamanya di Sungai Rambai adalah akibat air sungai yang mengalir membabitkan kedua-dua negeri ini terjejas sebab itu kita perlu segera selesaikan isu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Hari Bertemu Pelanggan di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Pengkalan Batu di sini hari ini.
MalaysiaGazette hari ini melaporkan lebih 5,000 penduduk khususnya di 13 kawasan sekitar Sungai Rambai merayu kerajaan meneruskan semula projek RTB Sungai Rambai-Sungai Kesang yang terbengkalai sejak enam tahun lalu.
Menurut mereka, kegagalan kerajaan meneruskan projek yang 40 peratus siap dan terbiar sejak 2017 itu menjadi punca lebih banyak kawasan terjejas banjir kali ini berbanding sebelumnya.
Akibatnya, mereka terpaksa berdepan fenomena ‘banjir termenung’ iaitu situasi air bergenang untuk tempoh yang lama walaupun ketika cuaca panas kerana air ‘terperangkap’ dan tiadanya sistem pengaliran ke laut.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, selain RTB Sungai Rambai, kerajaan sudah meluluskan semua projek RTB yang lain dan mula dijalankan kerja-kerja pembinaan.
Ia termasuklah Projek RTB Alor Gajah Fasa 1, RTB Sungai Duyong, RTB Bandar Jasin, RTB Bandar Merlimau dan Projek Menaik Taraf Kolam Tebatan Banjir Krubong-Durian Tunggal. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Lebih 5,000 penduduk rayu RTB diteruskan atasi banjir termenung