Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan di Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 09 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin memfailkan permohonan mencabar pembekuan dua akaun parti itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Tinggi di sini.

Turut difailkan oleh bekas Perdana Menteri itu ialah perintah larangan perjalanan yang dikenakan ke atasnya oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

MalaysiaGazette difahamkan permohonan itu dibuat melalui Tetuan Chetan Jethwani & Company secara atas talian malam tadi.

Muhyiddin selaku pemohon kedua dalam afidavitnya mendakwa sejak Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan telah wujud satu konspirasi melalui tohmahan palsu dan fitnah jahat telah disebarkan oleh pihak-pihak itu terhadap Bersatu dan beliau.

Muhyiddin berhujah bahawa dakwaan palsu yang dilemparkan terhadap beliau, ahli keluarganya dan Bersatu adalah untuk memupuk kebencian dan kemarahan orang ramai terhadapnya, selain merosakkan imej parti mereka.

Selain itu, Muhyiddin juga mendakwa larangan perjalanan yang dikenakan ke atasnya bertujuan untuk mencemar nama baiknya seolah-olah Presiden Bersatu itu telah melakukan kesalahan dan akan melarikan diri.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki awal bulan lepas telah mengesahkan akaun Bersatu dibekukan sebagai sebahagian daripada siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Wahhhh DS Najib minta passport nak melawat anak dia beranak kat Singapore pun ko bising ….skrg giliran ko yer..jgn banyak mulut plak

Comments are closed.