KUANTAN – Kerajaan Pahang memperuntukkan lebih RM50,000 bagi menghantar sumbangan bantuan kali kedua ke Johor pada melalui Misi Bantuan Kemanusiaan Pahang ke Parit Sulong di sini hari ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan kali kedua dalam tempoh seminggu itu sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral kepada mangsa banjir di negeri itu.
“Bantuan ke Johor ini adalah sememangnya menjadi amalan kita di Pahang. Sebagai tanda ingatan kita kepada mereka yang terkesan banjir dan dapat meringankan bebanan yang ditanggung.
“Di Johor ini sangat terkesan teruk berbanding di negeri lain. Kali ini kita bagi barangan yang dirasakan sangat perlu untuk mangsa-mangsa banjir seperti selimut, lampin kanak-kanak, refreshment kit dan pek kebersihan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat pelancaran penghantaran Misi Bantuan Kemanusiaan ke Parit Sulong di pekarangan Majlis Bandaraya Kuantan hari ini.
Terdahulu pada 3 Mac lalu, Pahang telah menghantar sumbangan barangan kepada mangsa banjir di Johor mernilai hampir RM80,000.
Wan Rosdy cukup memahami situasi dialami mereka yang terjejas berikutan kejadian banjir melanda negeri Pahang saban tahun.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bantuan melakukan kerja bantuan pasca banjir akan dilancarakan tidak lama lagi.
“Bila terkena banjir, negeri kita pun terkena banjir, kita dapat rasakan seperti mereka. Insya-Allah bergantung kepada kedudukan kewangan baik kita akan pertimbangkan untuk hantar kerana kita juga kena bersedia untuk negeri kita jika terkena banjir lagi.
“Bantuan pasca banjir juga diaturkan, ianya rutin. Namun buat masa ini kita fokus kepada Rompin dahulu.
“Terima kasih atas pengorbanan sukarelawan, bukan semua bukan boleh jadi sukarelawan kerana kekangan masa, ada yang sanggup ambil cuti untuk menyertai misi. Jaga diri baik-baik,” katanya. – MalaysiaGazette