Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) akan siap sepenuhnya pada sukuk kedua tahun ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, penambahbaikan termasuk meningkatkan perlindungan pengguna dalam kes-kes yang tidak pernah berlaku sebelum pandemik Covid-19.

“Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan kod perlindungan pengguna, MAVCOM kini dalam proses penambahbaikan MACPC berdasarkan maklumbalas pengguna dan juga pengajaranpengajaran penting yang berlaku semasa pandemik COVID-19.

“Penambahbaikan itu termasuk peningkatan perlindungan pengguna dalam kes-kes yang tidak pernah berlaku sebelum tempoh pandemik ini.

“MAVCOM menganggarkan proses penambahbaikan tersebut akan selesai pada suku kedua 2023,” kata Anthony dalam sesi Wakru Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Anthony berkata, dari tahun 2018 hingga Januari lalu Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengenakan penalti RM4.72 juta ke atas beberapa syarikat penerbangan yang gagal mematuhi MACPC.

Kesalahan yang dilakukan termasuklah penyediaan penjagaan dan keperluan kepada pelanggan selepas syarikat penerbangan terpaksa menunda atau membatalkan penerbangan masing-masing

Beliau menegaskan syarikat penerbangan yang membatalkan penerbangan atas faktor di bawah kawalan syarikat, seperti teknikal atau kapasiti penumpang tidak memuaskan perlu menawarkan pembayaran ganti dalam masa 30 hari atau perubahan laluan seperti diperuntukkan dalam MACPC.

MAVCOM boleh mengenakan penalti kewangan sehingga RM200,000 sekiranya syarikat penerbangan gagal mematuhi peruntukan dalam MACPC.

“MOT melalui MAVCOM pada 5 Januari 2023 telah mengingatkan semua syarikat penerbangan untuk memperkukuhkan pengurusan pengendalian penundaan dan pembatalan penerbangan.

“Ini bertujuan untuk menambah baik komunikasi kepada penumpang, serta menyediakan penjagaan dan keperluan seperti yang digariskan dalam MACPC 2016.

“Sekiranya syarikat penerbangan gagal mematuhi MACPC, MAVCOM boleh mengenakan penalti kewangan tidak lebih RM200,000, dan ketidakpatuhan kedua atau seterusnya amaun 10 kali daripada penalti kewangan yang dikenakan bagi ketidakpatuhan yang pertama,” katanya.

Anthony menjawab soalah Ahli Parlimen Sandakan (PH) Vivian Wong Shir Yee.-MalaysiaGazette