Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berucap pada sesi libat urus bersama ketua-ketua Jabatan Peringkat Negeri mengenai Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) ketika di Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 09 MAC 2023.

PUTRAJAYA – Pengekalan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang diumumkan hari ini dapat dilakukan tanpa campur tangan kerajaan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ini terbukti apabila Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan kadar itu dikekalkan pada kadar 2.75 peratus.

“Kami (kerajaan) mengambil pendekatan yang berbeza yang mana pada kami penting untuk kekalkan semak dan imbang dan tidak campur tangan dalam  BNM dan fokus lakukan apa juga yang boleh untuk kawal sederhanakan inflasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Sesi Libat Urus Menteri Ekonomi Bersama Ketua-Ketua Jabatan Mengenai Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan di sini hari ini.

Terdahulu BNM menerusi kenyataan memaklumkan pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi menerusi pengekalan kadar berkenaan.

Sementara itu, Rafizi menambah, perkembangan positif berkenaan membuktikan kerajaan dan BNM sama-sama menjalankan tanggungjawab memastikan ekonomi negara  diurus dengan baik.

Tambahnya, usaha kementerian ekonomi dan  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk menyederhanakan kadar inflasi sekaligus memberi peluang kepada BNM mengekalkan kadar OPR.

“Saya gembira sebab saya fikir sekurang-kurangnya di antara kerajaan persekutuan bekerjasama dengan Bank Negara dalam menguruskan perihal inflasi dan OPR.

“Kerajaan persekutuan bertanggungjawab untuk mengurus semuanya termasuk inflasi dalam masa yang sama BNM bertanggungjawab terhadap dasar kewangan bukan hanya sekadar inflasi,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

OPR kekal 2.75 peratus